PASUKAN keselamatan membawa keranda mayat mangsa nahas pesawat Azerbaijan Airlines sebaik tiba di lapangan terbang di Baku, Azerbaijan. FOTO Reuters
Baku (Azerbaijan): Mayat 24 warga Azerbaijan yang terbunuh dalam nahas pesawat Azerbaijan Airlines (AZAL) berhampiran Aktau, Kazakhstan dibawa pulang ke ibu negara Baku, lapor Agensi Anadolu (AA).
Mayat itu dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Heydar Aliyev dengan pesawat dan diterima oleh pegawai Kementerian Kesihatan Azerbaijan pada Sabtu malam.
Mayat termasuk tiga kru dan 21 penumpang akan menjalani bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga mereka.
Pada Khamis, Baku menerima 14 penumpang yang cedera dan empat lagi mayat dari lokasi nahas.
Penerbangan AZAL yang dalam penerbangan dari Baku ke Grozny di Republik Chechen, Rusia terhempas tiga kilometer dari Aktau di pantai Laut Kaspia.
Pihak berkuasa Kazakhstan melaporkan 38 orang terbunuh dalam nahas pesawat Embraer 190 itu yang membawa 67 orang di dalamnya, manakala 29 orang terselamat. Siasatan mengenai insiden itu sedang dijalankan di Azerbaijan dan Kazakhstan.
Kenyataan awal menunjukkan perlanggaran pesawat dengan burung sebagai kemungkinan punca nahas, walaupun rakaman dari lokasi kejadian menunjukkan lubang besar di bahagian ekor pesawat, yang menyebabkan spekulasi mengenai kemungkinan serangan.
Disiarkan pada: Disember 29, 2024
|