![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250130/btu-ub300125-ai-tpm-p1.jpg)
Fadillah dan Uggah melawat mangsa banjir di PPS Dewan Suarah Bintulu.-Gambar Yunus Yussop
BINTULU: Kerajaan Persekutuan komited untuk menyediakan RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) terjejas banjir yang berdaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sebagai bantuan awal kepada mangsa banjir di bahagian ini.
Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata, bantuan lanjut akan dibincangkan selepas menerima laporan penuh daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat, daripada Pejabat Residen, semua agensi kerajaan, termasuk anggota penyelamat dan sukarelawan, yang membantu menghantar bekalan makanan dan lain-lain bagi mengurangkan ketidakselesaan semua mangsa banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media semasa lawatan serta melihat keadaan mangsa banjir di PPS Dewan Suarah Bintulu hari ini.
Dalam pada itu katanya, PPS baharu akan dibuka di Paragon Street Mall bagi mengurangkan kesesakan di pusat pemindahan sedia ada di sini.
Jelasnya, Paragon Street Mall akan mempunyai kapasiti untuk menampung sehingga 1,000 orang.
Fadillah (kanan) dan Uggah (tengah) mendengar luahan hati mangsa-mangsa banjir di PPS Dewan Suarah Bintulu.
“Semua mangsa banjir dinasihatkan mematuhi arahan pasukan penyelamat kerana keutamaan adalah untuk memastikan keselamatan nyawa.
“Mangsa banjir juga digalakkan mendaftar dengan PPS dan menghubungi pejabat daerah atau Pejabat Residen untuk mendapatkan bantuan atau nasihat,” katanya.
Fadillah menegaskan, usaha kini tertumpu kepada penyelarasan tindakan dalam kalangan agensi penyelamat dan pihak lain yang terlibat.
“Keutamaan awal adalah untuk menyelamat dan memastikan keselamatan semua nyawa, menempatkan semua orang di pusat pemindahan sementara dan menyediakan peralatan yang diperlukan.
"Bukan untuk keselesaan tetapi untuk mengurangkan ketidakselesaan semua mangsa banjir, kerana ia mencabar untuk menguruskan segala-galanya semasa kecemasan seperti itu dengan banyak kedai ditutup sempena Tahun Baharu Cina," katanya.
Beliau juga menyebut bahawa bekalan tambahan sedang digerakkan dari kawasan lain untuk membantu Bintulu.
Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas
merakamkan penghargaan kepada Fadillah atas lawatannya dan menyelaras usaha menyediakan tempat perlindungan untuk mangsa banjir.
Uggah menggesa mereka yang enggan berpindah untuk berbuat demikian demi keselamatan mereka, sambil menyatakan bahawa paras air yang meningkat boleh membawa kepada bencana yang tidak diduga.
“Kami bersyukur kerana tiada kejadian kematian setakat ini, berkat kerjasama dan usaha kami untuk membawa semua ke PPS,” katanya.
Beliau menasihati mereka yang kurang sihat supaya melaporkan kepada pasukan kesihatan bagi mengelak sebarang wabak penyakit berjangkit pada masa kritikal ini.
Menurut maklumat terkini Angkatan Pertahanan Awam (APM) setakat 4 petang hari ini, seramai 6,884 orang daripada 1,865 isi rumah kini berada di 49 PPS di seluruh Sarawak.
Bahagian Bintulu telah mengaktifkan lapan PPS dengan 2,933 dipindahkan iaitu di Dewan Suarah (174 isi rumah, 658 individu), Pusat Sukan BDA Kidurong (70/ 273), Stadium Muhibah (222/ 907 Mangsa), Dewan SMK Assyakirin(119/, 584), Balai Raya Jepak (44/, 124), Rh Steven Ak Jeli, Tatau (13, 34), SMK Tatau (73/ 261) dan Balai Raya Sebauh (27/ 92).
Turut hadir Residen Bintulu Datu Nyurak Keti, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming, ADUN Jepak Iskandar Turkee dan ADUN Samalaju Dato Majang Renggi.
|