Kes ugutan terkait anak menteri, polis tunggu perkembangan terkini AGC
Oleh Nur Izzati Mohamad - Januari 31, 2025 @ 3:36pm [email protected]
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad (tengah) ditemui media pada majlis Advokasi Sempena Op Selamat Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Sungai Dua. - Foto NSTP
BUTTERWORTH: Polis Pulau Pinang menunggu perkembangan terkini daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung kes ugutan jenayah yang dikaitkan dengan anak seorang menteri untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Ahmad, berkata pihaknya sebelum ini sudah menyerahkan kertas siasatan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
"Kita masih lagi menunggu arahan terkini daripada Jabatan Peguam Negara," katanya di sini, hari ini.
Isnin lalu, Hamzah memaklumkan Polis Pulau Pinang sudah menyerahkan kertas siasatan kes berkenaan untuk tindakan TPR.
Media sebelum ini melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan polis sudah melengkapkan kertas siasatan kes ugutan jenayah yang dikaitkan dengan anak seorang menteri Kabinet, sekali gus menunjukkan polis tidak berkompromi atau melindungi pihak yang melakukan kesalahan.
Polis juga sudah merakam percakapan semua pihak terbabit dalam kes berkenaan dan kertas ini dirujuk kepada pejabat TPR pada 6 Januari lalu.
Sebelum ini, tular menerusi aplikasi Telegram kes membabitkan anak seorang menteri, yang dilaporkan mengugut seorang wanita yang memintanya bertanggungjawab atas kandungan sejak tujuh minggu lalu.
Kejadian ugutan itu dilaporkan berlaku ketika anak menteri terbabit sedang berbincang bersama wanita itu dan beberapa saksi lain di sebuah rumah di Telok Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang, pada 24 Disember tahun lalu.
Siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/01/1355780/kes-ugutan-terkait-anak-menteri-polis-tunggu-perkembangan-terkini-agc
|