Edited by Vellfire at 1-2-2025 10:49 PM

CHIN
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan perlu segera menangani krisis bekalan elektrik di Sabah.
Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin berkata, walaupun kerajaan Persekutuan telah berjanji untuk meningkatkan kapasiti penjanaan elektrik sebanyak 100MW, tetapi jumlah berkenaan masih belum mencukupi untuk memenuhi keperluan tenaga di Sabah.
“Sabah memerlukan sekurang-kurangnya 2,000MW bekalan elektrik bukan sahaja untuk memenuhi permintaan semasa tetapi juga memperkasa pembangunan masa depan," katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Beliau menegaskan baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, telah mengumumkan rancangan untuk membina dua loji janakuasa 100MW, yang akan siap pada tahun 2026 dan 2027, serta sebuah loji janakuasa solar berskala besar.
Katanya, inisiatif-inisiatif ini walaupun diperkenalkan sebagai penyelesaian utama kepada masalah bekalan elektrik di Sabah, namun ia gagal menangani krisis bekalan tenaga asas di negeri ini.
Chin berkata, Sabah kini berhadapan dengan kekerapan gangguan bekalan elektrik, infrastruktur yang tidak baik dan rizab tenaga yang tidak mencukupi.
Katanya, menurut Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), sasaran adalah untuk mencapai kapasiti simpanan 30 peratus menjelang 2030.
“Bagaimanapun, sekiranya hanya bergantung semata-mata pada penambahan 100MW kapasiti penjanaan elektrik... ia tidak akan membolehkan Sabah mencapai keperluan tenaga yang sebenar," katanya.
Beliau berkata, permintaan tenaga di Sabah semakin berkembang yang didorong oleh pertumbuhan penduduk, perindustrian dan pembangunan.
“Sektor ekonomi utama seperti pelancongan, pertanian dan pembuatan bergantung penuh pada bekalan elektrik yang stabil. “Jika kapasiti penjanaan elektrik tidak ditingkatkan, Sabah berisiko kehilangan pelaburan dan menghadapi pembangunan yang terbantut," katanya.
Beliau berkata, kapasiti penjanaan elektrik sebanyak 2,000MW akan memastikan bekalan elektrik yang stabil, mengurangkan gangguan bekalan, dan meningkatkan keyakinan pelabur.
Selain itu katanya, ia juga memperkasakan pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan industri, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri ini.
"Bekalan tenaga yang ditingkatkan juga membantu membekalkan penggunaan bekalan elektrik yang meningkat secara tiba-tiba, pada masa sama menyokong pembangunan tenaga boleh diperbaharui, mempercepatkan projek-projek tenaga mampan seperti solar, angin dan banyak lagi," katanya.
Dalam pada itu, beliau juga mahu rakyat Sabah mengekalkan perpaduan bagi menuntut kerajaan Persekutuan berkenaan perkara seperti pelaburan segera oleh kerajaan dalam projek penjanaan elektrik berskala besar untuk meningkatkan sekurang-kurangnya 2,000MW penjanaan elektrik bagi memenuhi permintaan semasa dan masa depan Sabah.
Beliau juga menyeru kerajaan untuk menaik taraf infrastruktur elektrik secara menyeluruh, termasuk memperkasakan rangkaian pembekalan bagi meningkatkan kecekapan tenaga dan mengurangkan kehilangan tenaga.
Selain itu, beliau menekankan keperluan untuk mempercepatkan pembangunan tenaga boleh diperbaharui, terutamanya dalam projek-projek solar, angin dan hidro dalam usaha menjadikan Sabah sebagai negeri terkemuka dalam tenaga mampan. Sementara itu katanya, Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal menjadi detik penting kepada rakyat Sabah untuk memperjuangkan hak mereka.
"Jika parti-parti politik tempatan di Sabah dapat meraih kemenangan besar dalam PRN, negeri ini akan mempunyai lebih banyak kuasa untuk terlibat dalam perbincangan penting dengan kerajaan Persekutuan.
"Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah pilihan terbaik untuk rakyat Sabah. Pengundi harus bersatu di bawah GRS pada PRN yang akan datang dan menumpukan undi mereka untuk memastikan kelangsungan pemerintahan dan kemakmuran untuk Sabah," katanya.
|