MANCHESTER: Musim hambar Manchester United semakin buruk apabila juara bertahan Piala FA Inggeris itu tersingkir dari kejohanan selepas tewas 3-4 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Fulham dalam aksi pusingan kelima kejohanan pada Ahad.
Skuad bimbingan Ruben Amorim itu ketinggalan menerusi gol Calvin Bassey dalam separuh masa pertama perlawanan di Old Trafford sebelum Bruno Fernandes mengikat kedudukan selepas masa tambahan.
Penjaga gol Fulham, Bernd Leno, menjadi wira Fulham dalam penentuan sepakan penalti apabila menyelamat tendangan Victor Lindelof dan Joshua Zirkzee, dengan Fulham menyempurna semua empat penalti mereka.
Dicemuh penyokong sendiri pada masa rehat, ini adalah satu lagi keputusan mengecewakan buat United dalam satu musim yang menyaksikan mereka berada di tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris.
Juara 13 kali Piala FA itu melangkah ke final kejohanan dalam dua musim terakhir dan menewaskan Manchester City untuk muncul juara musim lepas.
Tetapi tiada kunjungan ke Stadium Wembley (final) musim ini untuk United, yang hanya memiliki saingan Liga Europa untuk peluang terakhir memenangi kejuaraan musim ini.
"Ia sukar. Kami mempunyai peluang terbaik dalam perlawanan tetapi pad akhirnya, sepakan penalti boleh memihak kepada sesiapa pun dan hari ini, ia bukan memihak kepada kami," kata Amorim.
"Saya tahu kami tewas banyak perlawanan dan hilang trofi musim ini tetapi sasarannya ialah untuk memenangi Liga Perdana.
"Saya tidak tahu berapa lama masa untuk diambil tetapi jika anda berfikir seperti itu, kami boleh terjejas sedikit dengan kekalahan ini."
Penyerang Manchester United, Joshua Zirkzee (tengah), ditenang rakan sepasukan selepas gagal menyempurnakan penalti yang menyebabkan pasukannya tewas kepada Fulham semasa penentuan sepakan penalti perlawanan pusingan kelima Piala FA Inggeris menentang Fulham di Old Trafford pada Ahad. - Gambar AFPIa adalah satu lagi minggu mencabar di Old Trafford, dengan pengumuman pengurangan 200 kakitangan dan United bergelut untuk seri dengan Everton dan kelab tercorot, Ipswich Town.
Amorim mengakui kehidupan adalah "sukar" untuk United ketika ini dan kekalahan terbaharu ini adalah kekecewaan terbaharu buat jurulatih dari Portugal yang hanya tiba pada bulan November untuk menggantikan Erik ten Hag yang dipecat kelab.
United akan berkunjung ke Real Sociedad untuk perlawanan pertama pusingan 16 akhir Liga Europa pada Khamis sebelum menanti kunjungan Arsenal dalam liga. Ia tidak mengambil masa yang lama untuk Amorim menyedari United bakal mengharungi petang yang hambar.
Rasmus Hojlund gagal menyempurnakan peluang terbaik dari hantaran Christian Eriksen, menyebabkan dia masih tanpa sebarang gol dalam 18 perlawanan. Eriksen kemudian melihat cubaannya ditepis Leno tetapi ia masih tidak mampu menceriakan penyokong yang sudah bertahun-tahun kecewa dengan prestasi hambar pasukan mereka.
Cemuhan dituju kepada pemilik kelab, keluarga Glazer dan Jim Ratcliffe begitu jelas dalam separuh masa pertama sementara sepanduk mengkritik kenaikan harga tiket dipamerkan dari tempat duduk.
Fulham mengancam buat kali pertama menerusi tandukan Sasa Lukic selepas menerima umpanan Alex Iwobi.
Ia adalah amaran yang gagal dipelajari oleh United ketika Fulham membuka jaringan dalam minit kecederaan separuh masa pertama.
Kelemahan United dari satu tendangan sudut terdedah apabila tendangan Andreas Pereira ditanduk Rodrigo Muniz dan Bassey bertindak pantas berbanding pertahanan United, Noussair Mazraoui untuk menanduk masuk dari jarak dekat.

Pemain pertahanan Fulham, Calvin Bassey (dua kanan) meraikan gol pembukaan pasukannya ketika menentang juara bertahan, Manchester United pada perlawanan pusingan kelima Piala FA Inggeris di Old Trafford pada Ahad. - Gambar AFP
Amorin tidak menurunkan Alejandro Garnacho untuk 53 minit pertama selepas bantahan pemain itu apabila dikeluarkan ketika menentang Ipswich di mana dia terus berjalan ke terowong pemain berbanding duduk bersama pemain di tepi padang dalam satu insiden yang dikatakan oleh Amorim sudah diselesaikan selepas pemain itu bersetuju membayar makan malam rakan sepasukannya.
Amorim terpaksa menurunkan Garnacho ketika United ketinggalan dan kemasukkannya mendapat sorakan daripada penyokong namun tiada impak besar untuk pasukannya.
Dan bukan kali pertama musim ini di mana kapten pasukan, Fernandes, menjadi penyelamat pasukan apabila mengikat kedudukan pada minit ke-71 selepas menerima umpanan Diogo Dalot.
Namun, walaupun United pernah ketinggalan sebelum menewaskan Ipswich dan Everton, mereka gagal mengulanginya kali ini.
Onana menepis satu cubaan Emile Smith Rowe pada minit kecederaan untuk membawa permainan ke 30 minit masa tambahan sebelum penentuan sepakan penalti memastikan pemenang.
|