Foto Onn Hafiz Ghazi
IskandarPuteri – Inisiatif pembinaan gantri kutipan tol Cahaya Masai dengan kos anggaran sebanyak RM7 juta bakal membuka akses dua hala ke Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), sekali gus memastikan penyuraian trafik di sekitar Pasir Gudang dapat dilaksanakan dan memudahkan urusan perjalanan penduduk setempat.
Keputusan ini dicapai hasil perbincangan yang dilaksanakan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor bersama YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya. Perbincangan sama turut melibatkan beberapa pihak berkepentingan seperti Kementerian Kerja Raya, Kerajaan Negeri Johor, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Senai-Desaru Expressway Berhad (SDE) dan Meridin East Sdn. Bhd.
Menerusi projek berkenaan, ia akan memastikan jejambat Meridin East yang terbengkalai sejak tahun 2021 akan dapat beroperasi semula bagi memberikan kemudahan laluan terus dari Kong Kong ke Lebuhraya SDE melalui plaza tol baharu serta dapat menyingkatkan jarak perjalanan ke Pasir Gudang dan Tanjung Langsat kepada tujuh kilometer (KM).
Kerajaan Negeri juga komited dalam memastikan projek ini berjalan lancar demi kemudahan dan kesejahteraan rakyat Johor dengan kerja pembinaan yang dijangka bermula dalam tempoh terdekat sebelum ia dapat disiapkan menjelang hujung tahun ini.
Untuk rekod, cadangan penyelesaian berkaitan projek jejambat Meridin East Pasir Gudang telah dikemukakan oleh Kerajaan Johor ketika kunjungan hormat ke atas Menteri Kerja Raya bagi membincangkan hala tuju pembangunan infrastruktur negeri ini pada awal Februari lalu.
|