Georgetown: Kerajaan menggalakkan wanita meningkatkan penyertaan dalam pasaran kerja di negara ini dengan statistik terkini Jabatan Perangkaan menunjukkan kadar tenaga kerja kaum Hawa hanya 56 peratus iaitu jauh lebih rendah berbanding lelaki yang meliputi 82.9 peratus.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, wanita Malaysia menunjukkan bakat cemerlang dan ketabahan dalam pelbagai bidang dengan 65 peratus pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) adalah golongan itu namun ramai terpaksa meninggalkan kerjaya kerana menjaga keluarga.
Beliau berkata, kerajaan menghargai peranan wanita sebagai tunjang keluarga dan kekuatan pendorong pembangunan negara sekali gus mengiktiraf sumbangan besar mereka.
Justeru katanya, kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menyokong wanita kembali dalam lapangan pekerjaan.
"Program 'Returnship' oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti menyokong wanita kembali ke dalam industri dengan bantuan diperlukan selain kerajaan memperbaiki kemudahan asuhan kanak-kanak serta jagaan warga emas bagi membantu wanita mengimbangi tanggungjawab keluarga dan kerjaya.
"Langkah ini bukan saja meningkatkan pendapatan keluarga malah merangsang potensi penggunaan dan memacu pertumbuhan ekonomi dalaman," katanya kepada pemberita ketika mengedar 2,000 kuntum bunga bersama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow pada Program Hari Wanita di Pasar Chowrasta, hari ini.
Hui Ying berkata, bagi membantu wanita mengimbangi tanggungjawab keluarga dan kerjaya, kerajaan sedang giat memajukan kemudahan asuhan kanak-kanak awam dan jagaan warga emas.
Beliau berkata, Pulau Pinang sendiri sedang menuju ke arah masyarakat menua dan dijangka satu daripada empat penduduk negeri itu akan berusia lebih 60 tahun pada 2040.
"Saya akan bekerjasama dengan kerajaan negeri serta Adun untuk mempercepat pembinaan dan mempromosikan kawasan yang sesuai untuk warga emas dan penjagaan kanak-kanak bagi memastikan wanita mempunyai ruang seimbang antara keluarga dan kerjaya serta dapat meneruskan pembangunan karier masing-masing.
"Pemerkasaan wanita menjadi teras pentadbiran Kerajaan Madani, sama ada golongan itu memilih meneruskan perniagaan, memulakan kerjaya atau menjaga keluarga, kerajaan komited menyediakan mereka supaya dapat menjalani hidup dengan yakin," katanya.
Sementara itu, Kon Yeow berkata, program mengedar bunga di Pasar Chowrasta sempena Hari Wanita Antarabangsa yang disambut 8 Mac setiap tahun dianjurkan sejak 2000 dengan matlamat meningkatkan kesedaran berhubung kepentingan dan pembelaan hak wanita.
"Kita juga memerlukan lebih ramai wanita masuk semula dalam pasaran kerja kerana negara menghadapi cabaran tenaga buruh dan modal insan bagi menggerakkan ekonomi.
"Oleh itu, ekosistem yang menyokong wanita bekerja perlu diperkukuhkan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkasa wanita dalam bidang pekerjaan," katanya.