CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 5146|Reply: 8

ARKIB BERITA SITI NURHALIZA 1996 - 2000 ++

[Copy link]
Post time 9-5-2012 03:10 PM | Show all posts |Read mode
JOM semua share...artikel2 yg berkaitan Siti Nurhaliza dr awal jd artis smpai skrg...
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 9-5-2012 03:27 PM | Show all posts
JOM semua share...artikel2 yg berkaitan Siti Nurhaliza dr awal jd artis smpai skrg...
stylistikaCt Post at 9-5-2012 03:10 PM



    dear, instead of bukak thread tanpa 'first content', baik tk perlu bukak thread... next time post something yang berisi so that the rest can start the ball rolling...   why not u start posting artikel dari 1996 - present?!
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 9-5-2012 03:54 PM | Show all posts
21/05/1999

Siti Nurhaliza menang anugerah antarabangsa

PENYANYI Siti Nurhaliza mengharumkan nama negara apabila berjaya memenangi kategori persembahan Vokal Terbaik Wanita pada Pertandingan Lagu Antarabangsa Pasifik Selatan 1999.

Pertandingan yang diadakan di Australia baru-baru ini turut disertai oleh penyanyi-penyanyi popular antaranya dari Tahiti, Egypt, Cook Islands, India, New Zealand, Jepun, Amerika Syarikat dan negara tuah rumah.

Suara Siti berjaya menarik perhatian pihak juri menerusi lagu nyanyiannya ciptaan Azlan Abu Hassan dan Ishak Ahmad berjudul We'll Be As One.

Pemilihan dibuat menerusi format pertandingan iaitu peserta-peserta dia negara luar Australia dinilai menerusi kaset atau cakera padat yang dihantar kepada pihak penganjur untuk dinilai oleh juri.

Kemenangan Siti itu disampaikan menerusi faksimili oleh pihak penganjur kepada syarikat rakaman Suria Records, baru-baru ini.

Selain itu, apa yang membanggakan lagu itu juga turut terpilih sebagai pemenang tempat pertama dalam kategori pop/top 40.

Lagu tersebut telah dipertandingkan dalam kategori pop/top 40 iaitu lagu asal nyanyian Siti dalam album Adiwarna berjudul Satu Cinta Dua Jiwa.

Untuk pertandingan itu, Siti telah merakamkan lagu tersebut dalam dwibahasa iaitu Bahasa Melayu dan Inggeris.

Pengarah pertandingan itu menerusi faksimili tersebut, Maggie Britton turut memuji vokal Siti dan mengucapkan tahniah ke atas kejayaannya menewaskan ramai penyanyi handalan tuan rumah dan dari negara lain.

Sebanyak 32 buah lagu peringkat akhir dipertandingkan dalam 11 kategori iaitu kategori jazz/funk, etnik fusion, alternatif, hip hop/rap, pop/top 40, ballad, rock, country dan soul/R&B.

Menurut Siti, anugerah itu merupakan anugerah kedua yang diterimanya dari luar negara selepas memenangi Artis Bari Terbaik pada tahun 1996 di Anugerah Industri Muzik Singapura.

''Siti gembira dengan kejayaan ini. Walaupun kecewa kerana tidak tidak ke Australia apabila pihak penganjur menghadapi masalah.

''Barangkali ini adalah kejayaan paling manis kerana suara dan bakat Siti diiktiraf oleh orang luar. Secara tidak langsung, ia mewakili penyanyi-penyanyi tempatan bahawa orang kita juga mampu mencipta nama di luar negara,'' ujarnya.

Kata Siti lagi, kejayaan terbarunya ini merupakan satu kejutan dana ia berdasarkan mutu nyanyiannya yang dihantar kepada pihak penganjur kira-kira dua bulan lalu.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 9-5-2012 03:59 PM | Show all posts
May 26, 1997
Hormatilah Prinsip Saya.

  

PRINSIP penyanyi remaja Siti Nurhaliza yang tidak mahu bergambar dengan artis lelaki membuatkan dia banyak menerima kritikan terutama daripada pihak media.

Namun sebagai seorang yang bercita-cita besar dalam bidang seni, Siti Nurhaliza (Siti) tidak mudah goyah dengan kritikan.

Dia juga menjadikan kritikan sebagai cabaran untuknya terus menjadi seorang yang berprinsip dan tidak pernah lupa pada keluarga.

Kata Siti, prinsipnya bukan bermakna dia memandang rendah atau serong terhadap artis lelaki tetapi sebagai penyanyi remaja, dia menerima banyak implikasi kalau bergambar dengan lelaki.

Pegangannya patut dihargai kerana setiap individu semestinya mempunyai prinsip tersendiri mengenai sesuatu perkara. Dia juga ingin lari dari kebiasaan yang sedang berlaku di dalam industri hiburan tempatan.

Berikut adalah petikan temu bual dengan Siti mengenai prinsipnya yang tegas mengenai isu moral, keluarga dan gosip.

Soalan:
Banyak pihak masih tidak dapat menerima prinsip Siti. Apakah Siti akan menurut kehendak mereka?

Siti:
Saya bukannya cuba tunjuk baik dan artis lain tidak baik apabila dengan artis lelaki. Kalau gandingan itu ada tujuan murni selain semata-mata menggandingkan, saya menerima. Saya tetap tidak mahu kalau tidak bersebab.

Soalan:
Sebab yang bagaimana yang Siti maksudkan?

Siti:
Saya tidak kisah sekiranya gandingan tersebut ada tujuan. Misalnya gandingan saya dengan kumpulan 2 By 2 adalah kerana kami merakamkan lagu duet, jadi tidak ada alasan untuk saya menolak. Ini membuktikan saya tidak pernah melarang sepenuhnya diri saya bergambar dengan lelaki. Kalau ada anggapan itu, ternyata tidak benar.

Soalan:
Adakah Siti telah mengalami pengalaman pahit apabila digandingkan dengan artis lelaki?

Siti:
Siti pernah digandingkan dengan personaliti dan artis lelaki dan hasilnya gosip. Kononnya kami bercinta. Ini yang saya kecewa. Sebagai penyanyi remaja saya mahu elak daripada perkara tersebut. Ini juga untuk menjaga nama keluarga. Saya mahu berjaya dengan kemampuan saya bukan gosip.

Soalan:
Bagaimana pandangan Siti mengenai artis perempuan lain yang bersedia untuk digandingkan dengan artis lelaki?

Siti:
Semasa saya belum menjadi penyanyi saya telah melihat perkara tersebut di kalangan artis. Ia bergantung kepada pandangan masing-masing mengenainya. Setiap orang mempunyai penilaian tersendiri. Saya percaya saya tidak salah kalau ingin lari daripada kebiasaan itu. Sebab itu bukan pra-syarat menjadi artis.

Soalan:
Apa yang Siti maksudkan dengan kebiasaan?

Siti:
Maksud saya tidak semestinya yang orang lain selalu lakukan, kita juga mesti lakukan. Lagipun saya tidak nampak sejauh mana kemunculan seseorang penyanyi wanita dan lelaki secara berpasangan membantu kerjaya mereka. Saya ingin pertaruhkan bakat yang ada untuk mencipta kejayaan.
Semua penyanyi ingin mencari kelainan dan tidak mahu disamakan dengan yang lain untuk membentuk identiti masing-masing. Biarlah cara saya ini sebagai identiti saya. Saya tidak fikir orang yang waras tidak menghormati prinsip orang lain.

Soalan:
Jadi Siti berpendapat yang gosip tidak membantu kejayaan Siti?

Siti:
Bukan begitu. Tetapi yang saya tekankan ialah bakat yang ada di dalam diri saya dan saya senang sekiranya kerjaya saya sebagai penyanyi tidak dikaitkan dengan perkara yang tidak menyenangkan.

Soalan:
Adakah sebelum menceburi bidang ini tentu Siti telah tahu cabaran yang ditempuhi?

Siti:
Banyak gambaran yang saya dapati sebelum menjadi penyanyi. Pengajaran daripada kejadian yang menimpa artis lain saya jadikan teladan agar perkara yang sama tidak menimpa saya. Saya fikir baik atau buruknya dunia yang dilalui oleh artis terletak di bahu mereka sendiri.

Soalan:
Kini persoalan mengenai masalah sosial remaja banyak diperkatakan. Apa pandangan Siti mengenai perkara itu?

Siti:
Saya masih lagi menjalani hidup sebagai remaja dan saya berharap masalah tersebut dapat dibendung untuk membentuk generasi masa depan yang lebih cemerlang.

Soalan:
Apa peranan yang boleh dimainkan oleh artis untuk membendung masalah tersebut?

Siti:
Penyanyi mendekatkan diri dengan remaja melalui lagu-lagu dan persembahan mereka. Penyanyi juga kadang-kadang menjadi idola remaja dan mereka sepatutnya menunjukkan contoh yang baik. Mesej menerusi lagu juga mungkin boleh membantu.

Soalan:
Sebagai penyanyi remaja, adakah Siti fikir penglibatan dalam bidang seni dapat mengelakkan daripada masalah tersebut?

Siti:
Sebenarnya di dalam dunia seni pun perkara tersebut boleh berlaku. Dan ia bergantung pada individu masing-masing. Namun apabila sibuk dengan aktiviti kesenian secara tidak langsung seseorang akan terlupa pada perkara yang membabitkan yang tidak diingini itu.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 9-5-2012 04:00 PM | Show all posts
01/11/1998

Siti Nurhaliza dapat pengiktirafan di Jepun


ANGGUN... Siti Nurhaliza mengenakan salah satu daripada baju yang dipakai ketika mengadakan persembahan di Saga, Jepun baru-baru ini.

KALI pertama ditawarkan peluang untuk beraksi di Pop Queen Festival, hati kecil Siti Nurhaliza tertanya sendirian mampukah dia membuat persembahan yang terbaik. Berjayakah dia menambat hati peminat muzik di sana?

Baginya peluang yang ditawarkan kepadanya ketika itu adalah suatu tugas yang maha berat. Meskipun pemergiannya ke negara matahari terbit itu sekadar muncul sebagai penyanyi jemputan, namun sekali gus dia membawa nama dan imej negara.

Kata Siti Nurhaliza, ketika setibanya di sana dia dapat merasakan bahawa menerusi seni juga seluruh masyarakat dari segenap pelosok dunia dapat disatukan.

"Memang benar kata orang muzik itu cukup universal. Menerusi muzik kita dapat menyatukan manusia selain dapat menikmati hiburan serta lain-lain yang boleh membawa kepada satu usaha yang murni.

"Namun yang paling penting sekali pengamal muzik mestilah punya sikap bertanggungjawab terhadap tugasnya,'' ujarnya yang ditemani oleh ibunya, Siti Salmah Bachik dan Pengarah Urusan syarikat rakaman Suria Record, Tan Sook Loke.

Biarpun dia berada di Saga tempat berlangsungnya festival itu selama lima hari, namun Siti Nurhaliza hanya memperolehi peluang selama dua malam sahaja untuk 'menjaja' muzik Melayu - muzik yang menjadi kebanggaannya.

Cindai, Purnama Merindu dan Satu Cinta Dua Jiwa, tiga lagu yang menjadi pilihan penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu untuk dipersembahkan kepada masyarakat di sana.

Selain Siti Nurhaliza sebagai wakil dari Malaysia, turut menjayakan persembahan di festival itu juga ialah beberapa artis terkenal dari negara Filipina dan Jepun sebagai tuan rumah.

Setiap artis jemputan yang menjayakan festival itu mendendangkan lagu-lagu popular mereka.

Menurut Siti Nurhaliza, daripada pengamatannya masyarakat di sana punya mentaliti yang hampir sama dengan peminat muzik di negara ini iaitu sentiasa memberi sokongan kepada mana-mana penyanyi yang beraksi di negara mereka.

"Siti bersyukur dan gembira kerana kemunculan Siti mendapat sambutan yang cukup baik kerana daripada apa yang Siti lihat mereka bagaikan terpukau dengan keindahan melodi lagu-lagu Melayu.

"Daripada perbualan Siti dengan rakan-rakan artis dari negara Jepun dan Filipina juga mereka menyatakan kekaguman mereka terhadap lagu Melayu yang disifatkan punya keindahan dan keunikan yang tersendiri,'' kata Siti Nurhaliza yang mengenakan dua persalinan yang menampilkan ciri-ciri rekaan Malaysia ketika mengadakan persembahannya.

Mengenai matlamat festival yang diadakan itu, daripada apa yang diberitahu oleh pihak penganjur kepadanya, festival yang turut dikenali sebagai Saga Fiesta '98 itu diadakan secara tahunan bagi mengingati kematian bekas Gabenor daerah Saga (di mana berlangsungnya festival) yang merupakan satu-satunya Gabenor wanita yang menjadi pemerintah pada kira-kira 100 tahun lalu.

Berikutan itu kata Siti Nurhaliza lagi, festival itu dinamakan sebagai Pop Queen Festival atau dalam bahasa Melayu Festival Ratu Pop yang hanya mengetengahkan penyanyi-penyanyi wanita. Namun tidak dinafikan penyanyi lelaki juga mendapat tempat.

"Bagaimanapun kebelakangan ini pihak penganjur turut memberi laluan kepada penyanyi lelaki dan tidak terhad kepada penyanyi wanita semata-mata,'' katanya sambil memberitahu pemilihan dia sebagai wakil Malaysia dibuat oleh syarikat rakaman PonyCanyon (Malaysia) yang sudah sekian lama bertindak selaku perantara dengan pihak penganjur.

Pengalaman manis ini juga katanya, insya-Allah akan diulanginya sekali lagi pada pertengahan November ini kerana dia sekali lagi terpilih ke negara itu sempena dengan ekspo muzik yang akan berlangsung di Osaka.

Dalam nada penuh bangga Siti Nurhaliza berkata, dia berjanji untuk menampilkan persembahan yang lebih baik untuk memastikan nama baik dan reputasi negara terus terpelihara.

Sekembalinya dari Osaka, Siti Nurhaliza akan kembali sibuk kerana dia dan teman artis Noraniza Idris akan mengadakan persembahan When The Rivers Meet khusus untuk tetamu negara yang akan menjayakan Persidangan Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Selepas berehat seketika, Siti Nurhaliza perlu bekerja keras sekali lagi untuk menjayakan pertandingan separuh akhir Muzik Muzik anjuran TV3 di mana empat lagu nyanyiannya terpilih menyertainya. - Oleh Saharudin Musthafa
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 9-5-2012 04:01 PM | Show all posts
1998  Populariti... bukan terletak pada gaya seksi


SITI NURHALIZA.

MENCARI artis yang bersopan dan beretika dalam berpakaian sebenarnya satu pencarian yang sukar.

Meskipun dunia seni tempatan semakin mewah dengan bakat-bakat baru, kebanyakan mereka nampaknya lebih senang untuk memilih imej dan konsep berpakaian yang mendedahkan.

Pada mereka, tidak 'sah' gelaran dinamakan artis jika mereka tidak tampil dengan imej seksi dan menjolok mata.

Keseksian seakan menjadi pra-syarat untuk dikenali apatah lagi dalam keadaan mereka terpaksa bersaing untuk merebut perhatian peminat.

Namun, masih terdapat beberapa kerat artis tidak rela menjadikan tubuh badan mereka sebagai bahan untuk dipertontonkan.

Nyata prinsip dan pilihan mereka tidak sia-sia. Walaupun tidak menampilkan imej seksi dan menjolok mata ketika berpakaian, mereka tetap memperolehi kejayaan cemerlang dan gemilang.

Penyanyi yang popular dengan lagu Renungan Terakhir, Nora dianggap sebagai penyanyi yang bersopan dan sering mengelak daripada terlibat dengan sebarang anasir yang boleh merosakkan nama baiknya.

Sebagai isteri dan ibu, Nora memilih untuk bersederhana dalam berpakaian dan dalam masa yang sama masih mengikuti perkembangan fesyen semasa.

''Bersopan bukan bererti kita tidak mengikuti peredaran fesyen semasa. Banyak fesyen baru yang diketengahkan dan sebahagiannya juga tidak menjolok mata si pemakai. Jadi kita boleh membuat pilihan dalam perkara ini,'' jelas Nora.

Penyanyi ini juga secara peribadi menyifatkan artis yang benar-benar berbakat tidak akan menggunakan keseksian untuk menarik perhatian.

Sebaliknya jelas beliau, artis yang menggunakan pendekatan seksi adalah mereka yang tidak yakin dengan bakat dan kemampuan diri sendiri.

'' Adalah penting bagi setiap artis untuk menonjolkan kemampuan sebenar mereka dalam bidang seni tanpa mengeksploitasikan diri sendiri,'' jelasnya.

Sementara itu, penyanyi remaja, Siti Nurhaliza juga mampu menjadi contoh kepada sebahagian artis lain.

Awal-awal pembabitannya dalam bidang seni tiga tahun lalu, penyanyi ini telah menolak apabila diminta untuk mengenakan pakaian seksi di dalam majalah mahupun di majlis keraian.

Walaupun pada mulanya timbul kontroversi dan ada yang mennyifatkan penyanyi ini sebagai 'kolot' dan ketinggalan zaman, Siti berjaya membuktikan, tanpa imej seksi, artis masih boleh menempa kejayaan yang gemilang.

Bahkan kerana prinsip itu, Siti semakin dihormati peminat dan dia muncul sebagai penyanyi paling popular ketika ini.

''Pada mulanya ada pihak yang mempertikaikan prinsip Siti yang tidak mahu berpakaian menjolok mata dan menolak untuk bergambar dengan artis lelaki untuk mengelak gosip.

''Bagaimanapun lama kelamaan mereka memahami prinsip Siti dan Siti bersyukur kerana peminat semakin menghormati Siti sebagai artis'' jelasnya.

Menurutnya, memilih karier sebagai penyanyi tidak bererti menggadaikan segala prinsip dan pegangan peribadi.

Baginya, sebagai remaja yang dikenali dia harus pandai menolak sebarang anasir yang boleh mencemarkan nama baiknya dan keluarga

''Sebagai artis, Siti sedar banyak tanggungjawab sosial lain yang harus dipikul. Jadi, Siti memilih untuk bersederhana dalam segala hal termasuk cara berpakaian.

''Siti mahu menampilkan bakat dan kebolehan suara yang dianugerahkan oleh Tuhan tanpa bersandarkan kepada keseksian,'' jelasnya.

Katanya, cara berpakaian adalah soal individu, tetapi artis harus ingat bahawa terdapat sebahagian remaja yang menjadikan artis sebagai idola mereka.

Liza Hanim pula memberitahu, cara pemakaian adalah hak individu dan seseorang artis tidak dipaksa dalam berpakaian.

Bagaimanapun, katanya, pendekatan seksi tidak akan bertahan lama dan menyebabkan peminat hilang rasa hormat terhadap artis terbabit.

''Sampai bila kita mahu seksi? Mungkin hari ini kita boleh popular dengan pendekatan itu tetapi kita harus sedar, bahawa kita mempunyai tanggungjawab lain sebagai penyanyi,'' jelasnya.
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 9-5-2012 04:02 PM | Show all posts
1998Siti Nurhaliza artis yang wajar menjadi contoh


SITI NURHALIZA.

Kemunculan gadis bernama Siti Nurhaliza dalam persada seni dan hiburan tanah air memberi kesan yang bukan sedikit kepada masyarakat negara ini.

Daripada kanak-kanak hinggalah orang dewasa, Siti Nurhaliza tidak asing lagi malah dia merupakan artis paling popular tanah air dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Kekuatan Siti Nurhaliza, yang baru berusia 19 tahun ini, bukan sahaja kepada suara dan rupa parasnya tetapi jauh daripada itu.

Siti Nurhaliza cukup tersendiri. Dia membina imejnya dengan menyakinkan setakat ini ketika ramai artis wanita khususnya yang remaja tenggelam dan terawang-awang dalam glamour sehingga ada yang sanggup berpelukan sakan dengan artis Bollywood.

Bagi Siti Nurhaliza, dia tidak perlu bergambar berpelukan atau berpegangan tangan dengan artis lelaki untuk meningkatkan popularitinya. Dia juga tidak perlu berpakaian menjolok mata untuk mencuri perhatian.

Apa yang menarik pada Siti Nurhaliza ialah kesederhanaan yang dibawanya. Orang sepertinya lebih mengutamakan kualiti nyanyian dan persembahan.

Kepada orang yang menekankan kualiti, sememangnya Siti Nurhaliza boleh menjadi sandaran. Banyak persembahannya termasuk ketika majlis pembukaan dan penutup Sukan Komanwel ke-16 September lalu, mendapat pujian.

Sememangnya Siti Nurhaliza gadis yang jelita dan berwajah syahdu. Tetapi dia ternyata tidak mahu memperagakan itu sahaja apatah lagi mahu menyalahgunakan kejelitaannya itu.

Sebab itulah perbualan insan-insan bernama lelaki mengenai Siti Nurhaliza selalu terpelihara daripada memperkatakan perkara yang memomokkan tentang artis ini.

Mereka lebih tertarik dengan kesopanan, keayuan, kelembutan dan sudah tentu kemerduan suaranya - lantaran perawakannya yang lebih berorientasikan kualiti diri dan akhlak daripada 'kontroversi murahan.'

Ini menjadikan penerimaan masyarakat terhadap Siti Nurhaliza menerusi lagu-lagunya cukup natural dan bersahaja.

Ibu bapa misalnya tidak bimbang jika anak mereka menjadikan Siti Nurhaliza sebagai idola mereka.

Bagaimana suaranya? Itu lagi satu kelebihan artis kelahiran Temerloh ini. Suaranya cukup menawan lebih-lebih lagi kebolehan mengawal lenggok dan nada selain sebutan lirik yang jelas.

Lagu-lagu popularnya seperti Jerat Percintaan, Aku Cinta Padamu, Wajah Kekasih, Cindai, Purnama Merindu dan Mawarku (berduet) dinyanyikan dengan baik oleh Siti Nurhaliza.

Dia juga mempunyai kemampuan menyanyikan lagu-asli seperti Sayang Sarawak dengan lebih bertenaga dan penyampaian mengasyikkan.

Siapa kata artis generasi baru tidak pandai menyanyikan lagu asli. Siti Nurhaliza boleh menjadi contoh selain Noraniza Idris.

Persoalannya mampukah Siti Nurhaliza mempertahankan keunikannya dan terus memiliki segala ramuan tersendirinya itu sedangkan dia terus mendaki tangga populariti dengan dinobatkan banyak kejayaan?

Godaan dan cabaran yang menanti orang sebegini selalu besar dan bertali arus. Mujurlah setakat ini, Siti Nurhaliza telah membuktikan rekod yang baik di sebalik cubaan-cubaan untuk mengheretnya ke 'arus deras dunia glamor artis'.

Dia pernah dikritik kerana tidak mahu mengenakan pakaian seksi dan enggan bergambar galak dengan lelaki.

Masyarakat kita sememangnya mendahagakan role model seperti Siti Nurhaliza, yang mampu mengangkat martabat seni dan hiburan secara terbimbing.

Lebih daripada itu, kita perlu menghasilkan lebih ramai artis seperti Siti Nurhaliza ketika nilai dan tatasusila masyarakat semakin tipis dihakis keserabutan sosial.

Tanggungjawab ini tidak harus dipikul oleh industri muzik dan hiburan tanah air semata-mata bahkan masyarakat keseluruhannya - paling tidak, lebih menyebatikan minat dengan artis sedemikian berbanding artis yang kecelaruan personalitinya.

Cuma persoalannya, mampukah kita memiliki lebih ramai artis seperti Siti Nurhaliza?

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Post time 4-7-2012 09:23 AM | Show all posts
i love this thread.. please post moarr... aku rindu jaman siti dedulu
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 4-7-2012 06:20 PM | Show all posts
nice jugak thread ni walaupun da kene lahar ngan khy awal2
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

25-1-2025 07:48 AM GMT+8 , Processed in 0.056586 second(s), 26 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list