|
“Apabila dengar radio, jarang sekali lagu saya dimainkan sedangkan saya masih hidup. Kadang-kadang tertanya-tanya juga apa ‘dosa’ saya hingga lagu-lagu saya tidak lagi menjadi pilihan diputarkan di radio,” kata penyanyi veteran, Tan Sri SM Salim yang sedih berikutan lagu-lagunya kini tidak lagi mendapat tempat di stesen radio.
Beliau turut meluahkan kesedihannya apabila lagu Melayu asli seolah-olah akan lenyap begitu saja.
“Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berlaku. Bukan hanya stesen radio yang harus memainkan peranan malah stesen televisyen juga wajar mewujudkan slot untuk mengenengahkan irama ini.
“Lagu Melayu asli tidak seperti lagu pop lain. Ia lambang identiti yang sangat tinggi nilainya dan wajar dipelihara,” katanya.
Difahamkan, luahan rasa ini adalah yang pertama dilakukannya kerana beliau bukan seorang yang suka mengadu atau mengeluh. Pun begitu, beliau merasakan harus berkongsi kebimbangannya dengan menyampaikan pesanan serta mesej ini sebelum dipanggil pulang oleh Ilahi.
SM Salim ditemui selepas menerima Anugerah Biduan Negara daripada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) di Kuala Lumpur, malam kelmarin.
Anugerah berkenaan disampaikan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim. Selain itu, SM Salim turut menerima cek bernilai RM30,000, trofi, pingat, selempang dan sijil penghargaan.
Hadir sama, Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan I, Datuk Joseph Salang; Timbalan Menteri II, Senator Datuk Maglin Dennis D’Cruz; Ketua Setiausaha, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf dan Ketua Pengarah FINAS, Raja Rozaimie Dalnish Shah.
SM Salim berkata, beliau amat bersyukur diberikan anugerah itu walaupun sepanjang kariernya sebagai anak seni dia tidak pernah mengejar penghargaan.
“Saya menyanyi bukan untuk mendapatkan penghargaan. Orang ingat saya pun sudah cukup,” katanya diiringi linangan air mata.
Dalam majlis itu, SM Salim tetap ‘gagah’ mengadakan persembahan apabila dia berduet dengan penyanyi popular, Zainal Abidin.
Sementara itu, Rais berkata, penghargaan itu diberikan bagi menghargai jasa dan pembabitan SM Salim memperjuangkan lagu-lagu asli serta sudah 56 tahun dalam industri seni tempatan.
“Anugerah ini sebagai tanda penghargaan buat beliau dan berharap ia dapat menyuntik semangat kepada karyawan muda dalam memartabatkan seni warisan dan budaya bangsa.
“Ia sejajar hasrat kerajaan menjadikan industri kreatif sebagai satu industri yang membantu menjana pembangunan ekonomi negara,” katanya.
Majlis itu turut meraikan seorang lagi pejuang irama Malaysia kelahiran Singapura, Kassim Masdor yang menerima anugerah Seniman Tamu Negara.
Kassim yang sering terbabit dengan penghasilan lagu-lagu di dalam filem arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee mula dikenali menerusi lagu Sapu Tangan Tanda Mata dendangan Allahyarham Puan Sri Saloma.
Lagu itu adalah yang pertama dihasilkannya dan ia menjadi sangat hit sekaligus mengangkat nama Kassim Masdor sebagai komposer tersohor seterusnya pernah bekerjasama dengan penyanyi hebat seperti Allahyarham Datuk Ahmad Jais, Allahyarham Rafeah Buang, Allahyarham Datuk Ahmad Daud, Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad, Sanisah Huri, Kartina Dahari dan Datuk Sharifah Aini.
|
|