|
Aziz Sattar
S Shamsuddin
SELEPAS pemergian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, 'Bujang Lapok' filem lakonan tiga serangkai yang pernah menjadi legenda perfileman negara kehilangan seorang lagi pelakon protagonisnya apabila S. Shamsuddin atau juga dikenali sebagai Sudin, meninggal dunia hari ini.
Datuk Aziz Sattar, yang turut membintangi filem hitam putih yang diterbitkan pada 1959 itu memberitahu Bernama, ketika negara kehilangan seorang seniman komedi terulung, beliau pula kehilangan sahabat karib yang tiada galang gantinya.
"Kehilangan Sudin begitu dirasai kerana kami sahabat karib...lama betul kami berkawan...sejak usia belasan tahun, sebelum masuk bidang lakonan lagi.
"Dia seorang sahabat yang menghiburkan hati, telatahnya selalu menggelikan hati...saya rasa sangat kehilangan," katanya.
Beliau dimaklumkan berita kematian Allahyarham oleh adiknya di Singapura pada 11 pagi ini dan terus bergegas ke Singapura untuk menziarah.
Aziz yang kali terakhir menemui Allahyarham awal tahun ini ketika melawatnya di Hospital Alexandra berkata masih terbayang-bayang wajah Allahyarham yang gemar ketawa dan tidak pernah mengambil hati setiap kali beliau membuat usikan nakal.
"Saya selalu usik dia, kacau dia...dia tidak pernah marah...dia cuma ketawa...tak pernah ambil hati," katanya.
Beliau berkata Allahyarham juga seorang pelakon semula jadi mempunyai sifat jenaka dalam dirinya yang menjadikan kehilangan Allahyarham akan terus dikenang dalam industri perfileman negara.
Shamsuddin, 84, meninggal dunia pada 10.56 pagi ini selepas didapati tidak sedarkan diri di kediamannya di Blok 101 Bukit Batok, West Avenue 6, #07-34, Jurong, Singapura.
AL fatihah..
|
|