|
Penyakit koronari arteri punca serangan jantung
Penyakit koronari arteri (CAD) boleh menyebabkan serangan jantung dan menjadi pembunuh nombor satu di Malaysia. CAD tidak hanya dikaitkan dengan mereka yang ber-umur. Penyakit ini boleh menyerang mereka yang berumur 40 tahun dan ke bawah bergantung kepada gaya hidup. Obesiti, ken-cing manis, tekanan darah tinggi, merokok, kurang bersenam dan kandu-ngan kolesterol yang tinggi adalah antara faktor risiko yang mendekatkan kita kepada CAD.
Kaji Selidik Kesihatan & Penyakit Peringkat Kebangsaan ke-4 pada 2011 menunjukkan 2.6 juta (15.2 peratus) rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas menghidap diabetes manakala 5.8 juta (32.7 peratus) pula mengalami tekanan darah tinggi.
Kadar obesiti juga meningkat berbanding kajian pada 2006 daripada 7.9 peratus kepada 15.1 peratus. Kaji selidik berkenaan juga menunjukkan 23.1 peratus rakyat Malaysia merokok dengan 30.9 peratus daripadanya adalah remaja lelaki berumur dari 13 hingga 15 tahun.
Kekalkan berat badan sihat
Mereka yang mempunyai berat badan berlebihan atau obes berisiko tinggi untuk mendapat serangan jantung. Pastikan berat badan sentiasa di tahap normal, apatah lagi kadar metabolisme menurun dua peratus setiap dekad umur. Pastikan Indeks Jisim Badan (BMI) sentiasa berada dalam julat sihat iaitu antara 20 hingga 25. BMI boleh dikira dengan menggunakan formula berikut:
Indeks Jisim Badan =
Berat (kg)
Tinggi (m) x tinggi (m)
Makan secara sihat
Diet harian yang berkhasiat mestilah mengandungi lima kumpulan makanan daripada Piramid Makanan Malaysia seperti bijirin penuh, daging, sayur-sayuran, buah-buahan dan produk tenusu rendah lemak.
Kurangkan makan makanan bergoreng dan tinggi kandungan lemak. Makanan yang digoreng meningkatkan kadar lemak di dalam makanan sehingga 30 peratus. Lebihkan buah-buahan dan sayur-sayuran yang bukan saja rendah kalori tetapi kaya vitamin, serat dan antioksida bagi menghindari tekanan darah tinggi.
Baca label nutrisi produk makanan bagi menentukan pengambilan kalori. Berhati-hati dengan asid lemak trans. Lemak ini ditambah dengan hidrogen secara kimia bagi menjadikan lemak lebih stabil untuk proses penghasilan makanan. Lemak ini ada dalam makanan ringan, bahan mentah kek, marjerin dan biskut. Asid lemak trans boleh mendap di dinding arteri jika diambil secara berlebihan.
Lebihkan protein soya
Persatuan Jantung Amerika menyarankan pengambilan 25 gram protein soya sehari untuk mengurang-kan risiko serangan jantung. Kurangkan pengambilan daging dan gantikan sumber protein harian dengan makanan berasaskan soya. Kacang soya hitam contohnya diiktiraf sebagai makanan yang baik untuk jantung.
Kacang soya hitam me-ngandungi asid lemak Omega 3 yang membantu mengurangkan kandungan trigliserida dalam darah. Protein soya juga mampu mengurangkan kandungan kolesterol. Justeru, pengambilan protein soya tiga atau empat kali seminggu penting. Minuman susu kacang soya atau susu soya hitam juga mengandungi kandungan protein, vitamin, mineral dan protein soya yang tinggi untuk diet harian.
Bergerak aktif setiap hari
Jantung terdiri daripada otot yang memerlukan pergerakan untuk membina kekuatan. Bersenam membantu seseorang itu mendapatkan berat badan yang ideal, membina kekuatan badan, meningkatkan stamina dan meningkatkan kadar denyutan jantung. Persatuan Jantung Amerika menasihatkan supaya bersenam sekurang-kurangnya 150 minit seminggu. Gaya hidup aktif boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian seperti menggunakan tangga dan bukan lif, meletak kenderaan lebih jauh dan berjalan, menari dan bermain futsal.
Oleh itu, amalkan gaya hidup sihat dalam menghindari penyakit jantung. Mulakan hari ini ke arah kehidupan yang lebih bermakna!
|
|