Latar belakang bandar Liverpool dan Manchester
Ketika Revolusi Industri Eropah sedang memuncak, begitu juga dengan permusuhan antara penduduk bandar Liverpool dan Manchester. Permusuhan Manchester-Liverpool sedang memuncak.
Ketika Revolusi Industri Eropah, bandar Manchester terkenal dengan industri pembuatan (manufacturing). Bandar Liverpool pula masyhur dengan industri pelabuhan kapal mereka.
Semua produk-produk yang dihasilkan oleh kilang-kilang di bandar Manchester akan dihantar ke bandar Liverpool untuk diedarkan.
Tetapi sejak pembinaan Manchester Ship Canal, produk-produk kilang di bandar Manchester boleh terus diedarkan di pelabuhan baru di Manchester Ship Canal.
Kos pengedaran berjaya dikurangkan. Kebergantungan industri pembuatan di Manchester kepada industri perkapalan di Liverpool turut dikurangkan.
Tembok pemisah dua bandar
Sejak lebih 100 tahun lepas, bagaikan ada satu tembok besar di antara pasukan Liverpool dengan Manchester United. Tiada siapa berani merentas tembok besar tersebut.
Dalam sejarah kedua-dua kelab, hanya seorang pemain bernama Phil Chisnall pernah merentasi tembok tersebut. Chisnall berhijrah dari Old Trafford terus ke Anfield pada 1964.
Itulah kali terakhir tembok besar tersebut berjaya direntasi.
Hari Bryan Robson hilang seorang peminat
Di satu tempat bernama Huyton, kawasan yang terletak lebih kurang 20km dari bandar Liverpool, seorang kanak-kanak yang memakai jersi Manchester United sedang seronok bermain bola sepak.
Dia membuat terjahan keras, membuat hantaran-hantaran yang mengelirukan, kanak-kanak ini juga mampu membuat sepakan deras di sebalik fizikalnya yang kecil.
Dia ingin menjadi seperti idolanya; Bryan Robson yang merupakan pemain Manchester United.
Kanak-kanak itu merasa bangga memakai jersi Manchester United yang tertulis nama Bryan Robson.
Entah dari mana, muncul kelibat lelaki 30-an dari satu arah.
Lelaki tersebut merupakan ayah kepada kanak-kanak tersebut. Ayahnya begitu marah sekali dan berkata kepada anaknya dengan nada yang keras:
“Kamu jangan memakai jersi Manchester United. Jangan sesekali berani memakai jersi Bryan Robson,” ujar lelaki tersebut kepada anaknya; Steven Gerrard.
Kanak-kanak bernama Steven Gerrard tersebut mendapat satu pelajaran penting; pertembungan antara Liverpool dan Manchester United bukan satu pertembungan yang biasa-biasa.
Pertembungan ini adalah gabungan 3 perkara; permusuhan, dendam kesumat dan maruah.
Sejak itu, Gerrard tidak lagi menyimpan jersi Manchester United.
|