|
sumber : https://cdns.klimg.com
Cuaca panas terik yang melanda Malaysia ketika ini, dijangka berakhir minggu ini.
Memetik laporan Bernama, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi JMM Alui Bahari berkata pihaknya menjangkakan ribut petir dan hujan lebat akan kembali melanda beberapa negeri di Pantai Barat Semenanjung.
Beliau bagaimanapun berkata taufan Lan dijangka tidak akan melanda bahagian pantai barat.
Taufan tersebut sudah bergerak jauh dari perairan negara dan dijangka mendekati, Okinawa, Jepun.
Cuaca panas kering melebihi 33 darjah celsius, melanda negara kesan tempias taufan Lan yang melanda timur Filipina sejak Selasa lalu.
Sementara itu, menurut Profesor Klimatologi dan Oseanografi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Fredolin Tangang, badai taufan itu diibarat menghempaskan 'ekor' ke Sabah, Labuan dan Sarawak sehingga menyebabkan hujan lebat dan angin kencang berterusan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, fenomena hujan lebat dan angin kencang adalah kesan peralihan kelembapan udara Semenanjung yang diangkut ke kawasan berdekatan taufan, terutama Sabah.
"Secara teori, Taufan Lan tidak akan melalui Sabah, kerana kedudukan negeri bawah bayu dekat dengan garisan Khatulistiwa."
"Bagaimanapun, apabila taufan muncul di timur Filipina, tiupan angin menjadi kuat. Sabah dipengaruhi "ekor" taufan," katanya.- CARI |
|