|
JAKARTA: Polis Indonesia mengesan kegilaan terbaru remaja, terutama di Jakarta yang sanggup minum air rebusan tuala wanita terpakai untuk khayal sebagai pilihan lebih murah berbanding dadah.
Jakarta Post melaporkan, perbuatan jijik mereka itu dikesan selepas polis melakukan penahanan di Jakarta, Bekasi, Jawa Barat dan Kudus, Jawa Tengah.
Polis mendapati beberapa remaja yang ditangkap itu melakukan eksperimen berkenaan dalam usaha untuk khayal.
Ketua Agensi Narkotik Kebangsaan, Suprinarto berkata, kandungan klorin di dalam air rebusan itu boleh memberi perasaan khayal dan halusinasi, sama seperti mengambil dadah tertentu.
“Mereka mengutip tuala wanita terpakai itu dari longgokan sampah sebelum merebusnya.
“Selepas ia sejuk, mereka minum bersama-sama,” kata Suprinarto yang dipetik Kompas.
Bagaimanapun, seorang aktivis, Jimy Ginting berkata, ia bukan perkara baru kerana golongan remaja di Belitung, pulau Bangk Belitung dan Karawang, Jawa Barat, dilaporkan sudah melakukan perkara sama pada 2016.
“Saya tidak tahu bagaimana ia bermula tetapi saya tahu mengenai perkara itu dua tahun lalu.
“Setakat ini tiada undang-undang mengenai kegiatan itu.
“Tidak ada undang-undang yang boleh digunakan terhadap mereka yang menggunakan campuran ubat nyamuk dan ubat batuk untuk mabuk,” katanya.
Sebelum ini, portal Tempo memetik pegawai Suruhanjaya Perlindungan Anak Indonesia (KPAI), Sitty Hikmawatty berkata, fenomena gila itu bermula daripada perasaan ingin tahu remaja terbabit.
“Mereka mencari alternatif bahan lain untuk membuat mereka rasa khayal, tenang atau gembira,” katanya.
Katanya, tingkah laku golongan muda yang terjebak dengan perbuatan itu semakin membimbangkan.
“Tahun lalu, bilangan remaja yang mabuk pembalut wanita masih kurang namun kini kes semakin banyak dan membimbangkan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 8:29 AM
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|