Kajian itu turut mendapati, jika usia sel saraf diundur, seseorang itu akan mendapatkan semula memorinya yang lampau. – Getty Images/Daily Star
CAMBRIDGE –Saintis dari Universiti Harvard, England bakal memulakan kajian tetapan semula genetik yang memungkinkan jangka hayat manusia dipanjangkan sehingga ribuan tahun, lapor akhbar Daily Star UK, kelmarin.
Pakar genetik,Profesor David Sinclair berkata, ujian yang akan dimulakan pada tahun 2023 itu sudah dilakukan ke atas tikus dan mendapati proses penuaan boleh diundur semula dalam otak dan organ-organ lain.
“Kami mendapati ada gen-gen embrionik yang boleh dimasukkan ke dalam haiwan dewasa bagi menetapkan semula usia tisu-tisunya. Proses itu hanya mengambil masa selama empat ke lapan minggu untuk menampakkan kesan.
“Misalnya, kami menjalankan uji kaji terhadap seekor tikus buta akibat proses penuaan dan neuron yang tidak lagi berfungsi terhadap otak. Neuron itu ditetapkan semula kepada usia lebih muda dan kini, tikus itu boleh melihat kembali.
“Selain itu, usia haiwan itu juga boleh dikembalikan tanpa menghasilkan ketumbuhan atau sel stem di dalam mata,” ujarnya.
Tambah Sinclair, kajiannya yang diterbitkan pada Disember tahun lepas itu turut mendapati jika usia sel saraf diundur, seseorang itu akan mendapatkan semula memorinya yang lampau.
“Namun begitu, pada akhirnya, semua ingatan mahupun maklumat genetik sekali pun akan merosot perlahan-lahan menerusi proses mutasi.
“Jadi, kehidupan abadi atau hidup selama-lamanya tidak akan mampu dicapai meskipun kita boleh menetapkan semula genetik badan selama beratus kali dan hidup beribu tahun,” jelasnya. – AGENSI |