|
Dua hari dihendap harimau
Oleh Zaitie Satibi
TEMERLOH: “Saya hanya mampu membaca ayat suci al-Quran bagi menghilangkan takut ketika berdepan harimau belang sebesar lembu pada jarak hanya 10 meter,” kata guru agama, Habsah Mat Ali, 55, menceritakan detik cemas terserempak haiwan liar itu, Isnin lalu.
Dia yang tinggal di Kampung Teluk Ira, dekat sini, tidak sedap hati ketika menoreh di kebun getahnya, tetapi tidak menghiraukannya.
Katanya, ketika hampir selesai menoreh kira-kira jam 11 pagi, dia terdengar bunyi ranting kayu patah dan bau busuk seperti bangkai.
“Saya sudah menduga ada sesuatu yang pelik dan dapat membayangkan ada haiwan besar berhampiran, tetapi saya tidak menduga ia seekor harimau belang.
“Bagaimanapun, sebaik menoleh ke belakang, darah saya berderau dan tergamam apabila melihat seekor harimau belang betul-betul berada di belakang,” katanya.
Dia segera berdoa semoga harimau itu tidak menyerangnya dan membaca ayat al-Quran bagi menghilangkan rasa takut.
“Harimau terbabit hanya berdiri dan memandang saya seolah-olah mahu menerkam. Saya berundur perlahan-lahan sambil mata tidak lekang memerhatikan pergerakannya sebelum berlari pulang.
“Saya terus beritahu suami serta jiran mengenai kejadian itu,” katanya.
Habsah berkata, dia yakin harimau itu sudah mengintai pergerakannya sejak pagi Ahad lalu ketika menoreh berseorangan.
Pada masa itu, dia terdengar bunyi objek besar jatuh dari tempat tinggi kemudian menerpa masuk ke dalam belukar berhampiran.
“Mulanya, saya mengesyaki babi hutan dan tidak terfikir harimau kerana tidak pernah diganggu sebelum ini.
“Berikutan itu, saya sudah tiga hari tidak menoreh dan mungkin tidak akan menoreh kerana bimbang terserempak atau diserang haiwan berkenaan,” katanya.
Kejadian mencemaskan dialami wanita warga emas itu menghantui kira-kira 2,000 penduduk Kampung Teluk Ira, Kampung Berhala Gantang, Kampung Teluk Mengkuang dan Kampung Bangau terutama penoreh.
Mereka bimbang haiwan itu yang dipercayai masuk ke kawasan kampung untuk mencari makan selepas habitatnya terganggu mengancam nyawa manusia dan ternakan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Teluk Ira, Mat Pilus Mat Taha, berkata kejadian itu sudah dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan berharap tindakan segera diambil untuk keselamatan penduduk.
Menurutnya, dia menerima banyak aduan mengenai haiwan ganas itu dan hanya mampu menasihatkan penduduk, terutama penoreh supaya tidak keluar bersendirian.
mcmn la si belang ni boleh sekodeng org ni...... |
|