|
Kelainan Siti, Ahmad Jais, Lan malam ini
SEBAIK membuka pintu studio Cranky Music di Ara Damansara berhampiran Subang, Selangor, kedengaran suara lunak Datuk Siti Nurhaliza mengalunkan lagu Biarlah Rahsia dengan penuh perasaan. Bersungguh-sungguh Siti menyanyi pada sesi latihan bagi Konsert Terima Kasih Harian Metro yang akan berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, jam 8 malam ini.
Sesi latihan yang dikendalikan Aubrey Suwito selaku pengarah muzik itu turut menampilkan barisan pemuzik pengiring terdiri daripada Ujang (dram), Fly (bass), Hillary Ang dan Rafi (gitar), Steve Thornton (perkusi) serta trio suara latar Widy, Yuaz & Anis.
Terasa kelainan mendengar suara Siti menyanyikan lagu ini kerana jika rentak asalnya dalam tempo balada, Biarlah Rahsia yang akan dinyanyikan Siti malam ini digubah Aubrey menjadi bossanova yang lebih menarik.
Latihan selepas itu diteruskan dengan lagu berikutnya, Cindai yang bertanggungjawab mempopularkan namanya sebagai penyanyi tersohor. Cindai juga kedengaran lain kerana rentaknya lebih laju dan moden, namun masih tebal dengan lenggok tradisi Melayu. Inilah keistimewaan yang akan dinikmati peminat yang datang ke Dataran Merdeka malam ini.
Ditemui selepas itu, Siti akui tiada masalah menjalani latihan bersama Aubrey kerana sudah kerap bekerjasama dengan penggubah handalan itu.
"Dia sudah tahu gaya nyanyian Siti. Lagipun Siti hanya menyanyikan dua lagu jadi ia tidak terlalu susah. Lagipun Siti menyanyikan lagu sendiri.
Click Here
"Namun ia bukanlah bermakna Siti akan buat persembahan sambil lewa kerana setiap persembahan ada tujuan dan matlamatnya. Harap-harap ramai yang datang," katanya.
Sepintas lalu, jadual Siti memang ketat. Kelmarin, dia terbang ke Indonesia untuk meraikan majlis perkahwinan sahabat baiknya, Krisdayanti (KD) dan Raul Lemos. Malah dia turut menyanyikan lagu Biarlah Rahsia dan Bukan Cinta Biasa atas permintaan KD sendiri.
Kemudian dia terbang pulang ke Kuala Lumpur dan akan muncul dalam konsert anjuran Harian Metro. Esok, Siti akan menyanyi pada program Malam Transformasi Bersama Rakyat: Untukmu Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil.
Ditanya tidakkah dia terasa letih, Siti memberitahu, dia beruntung kerana jadualnya diatur dengan baik oleh pengurusannya, Siti Nurhaliza Productions (SNP).
"Alhamdulillah, Siti tidak terkejar-kejar kerana semuanya diuruskan dengan baik. Kebetulan jadual Siti bulan ini hingga April memang padat kerana akan menyanyi untuk malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH 2010) pada 3 April di Arena of Stars, Genting Highlands.
"Selepas itu pula, Siti akan menjayakan persembahan untuk Minggu Setiausaha anjuran Hotel Quality, Kuala Lumpur di Matrade Exhibition & Convention Centre, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 5 April. Walaupun nampak sibuk, Siti sebenarnya masih ada masa untuk diri sendiri kerana persembahan biasanya berlangsung pada hujung minggu. Jadi hari-hari biasa dapat Siti gunakan dengan berkunjung ke spa, bersantai dan merehatkan diri," katanya.
Mengulas mengenai peluang beraksi malam ini, Siti memberitahu ia menjadi medan yang bermakna buatnya selepas lama tidak mengadakan persembahan secara terbuka di depan peminat. Dia berbesar hati dipilih bagi menjayakan konsert yang gah ini sempena meraikan ulang tahun ke-20 Harian Metro.
"Malam ini adalah malam untuk Siti menghargai peminat dan pembaca setia Harian Metro. Malah Siti tidak sabar untuk menghiburkan peminat kerana April ini genap ulang tahun ke-16 pembabitan Siti dalam bidang seni. Jadi, persembahan di Dataran Merdeka ini boleh dianggap hadiah khas kepada peminat yang menyokong Siti selama ini," katanya.
Turut mengadakan latihan di Cranky Music pada petang Khamis lalu, Azlan & The Typewriter yang menyanyikan lagu Kelibat Si Penyair dan Jeritan Batinku.
Azlan juga tiada masalah menjalani latihan bersama pemuzik Aubrey.
"Saya sudah bersedia untuk memberikan persembahan terbaik buat peminat pada malam ini. Diharapkan peminat hadir beramai-ramai bagi memberi sokongan terhadap artis tempatan dan Harian Metro," katanya.
Konsert Terima Kasih Harian Metro juga akan diserikan dengan persembahan artis malar segar, Datuk Ahmad Jais yang akan menyampaikan lagu Cenderawasih serta lagu berentak joget, Umpan Jinak Di Air Tenang, bergandingan dengan Bunkface. Ia memang satu kelainan.
"Lagu Cenderawasih jadi pilihan penganjur untuk dinyanyikan malam ini. Gabungan saya dengan Bunkface memang sesuatu yang unik. Walaupun tidak dapat menjalani latihan serentak dengan mereka kerana mereka masih di Hong Kong, saya yakin kami boleh menghiburkan penonton kerana melodi dan liriknya senang diikuti," katanya selepas latihan.
Penyanyi berusia 75 tahun ini sangat berbesar hati terpilih untuk menjayakan konsert ini yang dijayakan Ramli Sarip, Ella, Black, Stacy, Shahir, Bunkface, Alyah, Min Yasmin, Johan dan Zizan Raja Lawak. |
|