|
Wanita Pertama Arab pecah tradisi
Oleh Nurul Adlina Kamaludin
[email protected]
Permaisuri dan Wanita Pertama Qatar, Sheikha Mozah memegang pelbagai jawatan di dalam dan luar negara.
Isteri pemimpin yang sebelum ini konservatif mula tonjol diri
GELARAN Wanita Pertama lebih sinonim dengan negara Barat dan tenggelam di negara Arab akibat kekangan tradisi dan batasan agama yang mengehadkan kemunculan isteri pemerintah negara Teluk itu.
Akibatnya, dunia lebih kenal dengan nama Wanita Pertama popular seperti mendiang Jackie Kennedy, isteri bekas Presiden Amerika Syarikat, J F K Kennedy dan terbaru, Carla Bruni-Sarkozy, isteri Presiden Perancis.
Namun, hakikatnya, barisan Wanita Pertama Arab juga tidak kurang hebatnya baik dari segi penampilan dan kecerdikan selaras kedudukan sebagai isteri pemimpin yang disegani.
Antara nama Wanita Pertama Arab yang dikenali termasuk Permaisuri Rania, isteri pemerintah Jordan; Asma Fawaz
Akhras, isteri Presiden Syria Bashar al-Assad dan Sheikha Mozah Nasser al Missned - isteri pemerintah Qatar, Sheikh Hamad Khalifa Al Thani.
Wanita Pertama Syria, Asma al-Assad (kanan) bersama Wanita Pertama Mesir, Suzanne Mubarak (kiri) dan bekas Wanita Pertama Lubnan, Andree Lahoud.
Berbanding Rania dan Asma yang mewakili Wanita Pertama moden Arab dan lebih popular, Mozah juga tidak kurang hebatnya.
Malah di Qatar dan rantau Arab amnya, nama Mozah turut meniti di bibir ramai rakyatnya berikutan kehadirannya memecah tradisi serta tembok sekatan yang ketara di negara konservatif.
Permaisuri Qatar itu juga tidak pernah menjadikan statusnya sebagai isteri kedua sebagai halangan untuk mendekati rakyat serta warga asing.
Mozah juga menjadi satu-satunya isteri pemerintah Qatar yang berani menampilkan dirinya. Ini disebabkan Qatar adalah antara negara yang mana pemimpinnya mempunyai ramai isteri dan mereka lazimnya kurang menonjolkan diri. Mozah bukan setakat berani melontarkan idea dengan memberi ceramah, tetapi kecantikan dan gayanya yang moden biarpun menutup aurat, juga mendapat perhatian ramai.
Permaisuri Jordan, Rania dikenali sebagai penjuang hak asasi wanita dan kanak-kanak.
Jika diselidiki, Mozah bukan sebarang wanita biasa. Berbekalkan ijazah sarjana muda Sosiologi dan memegang jawatan penting di dalam dan luar negara, termasuk Naib Presiden Majlis Pendidikan selain menjadi Wakil Khas Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
Setiap kali kemunculannya di khalayak ramai sama ada berbicara dengan pemimpin dunia atau berucap di majlis Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mozah yang dipercayai berusia 40-an ini mampu menarik perhatian ramai. Apa tidaknya, ibu tujuh anak itu bukan setakat petah berbicara, tetapi gayanya turut menawan hati ramai.
"Tiada kerabat diraja yang mampu melakukan seperti Mozah," kata pakar sosiologi di Dubai, Rima Shaban.
"Mozah memecahkan semua sekatan budaya dan memaparkan dirinya sebagai wanita moden, berkeyakinan dan bijak tanpa gentar dengan kecaman masyarakat konservatif," katanya.
Di Jordan, nama Permaisuri Rania sudah tidak asing lagi. Wanita Pertama yang dilahirkan pada Ogos 1970 dan berdarah Palestin, bukan setakat terkenal di dunia Arab menerusi usaha kebajikannya, tetapi juga di seantero dunia. Malah, hasil usahanya itu menyaksikan Rania menerima pelbagai anugerah termasuk Ijazah Kehormat Doktor Hubungan Antarabangsa daripada Universiti Malaya, Mei lalu.
Rania yang juga bonda empat anak - Putera Hussein, 13; Puteri Iman, 11; Puteri Salma, 7, dan Putera Hashem, tiga tahun, disifatkan ramai sebagai permaisuri yang tenang. Namun di sebalik ketenangannya, Rania juga berani sebagai pejuang hak asasi wanita dan kanak-kanak. Terbaru, beliau turut mengambil inisiatif mendekati golongan muda khususnya apabila mewujudkan laman khas dalam Youtube untuk menjawab pandangan negatif mengenai Islam - suatu usaha yang harus dipuji kerana kedudukannya sebagai seorang Muslim, isteri serta paling penting Wanita Pertama sebuah negara Arab.
Antara jasanya termasuk menubuhkan muzium pertama kanak-kanak di Amman bagi memastikan proses pembelajaran sepanjang hayat serta program Madrasati (Sekolah Saya) bagi membantu sekolah yang memerlukan bantuan kelengkapan.
Wanita Pertama Syria, Asma juga tidak kurang hebatnya. Beliau yang dilahirkan di London pada 11 Ogos, 1975, adalah anak pakar jantung terkenal Syria, Fawaz Akhras. Wajahnya yang jelita dan dianggap setaraf peragawati, pernah bertugas di beberapa institusi kewangan terkemuka sebelum berkahwin dengan Presiden Bashar pada 2000.
Tidak seperti Wanita Pertama Syria sebelumnya yang lebih suka menyendiri, Asma sebaliknya mewakili generasi baru yang tidak segan untuk muncul di khalayak ramai baik di dalam atau luar negara, khususnya bagi sebarang usaha membabitkan kebajikan. Pada 2001, beliau mewujudkan badan bukan kerajaan pertama bagi luar bandar dan pembangunan penduduk. Asma juga menjadi tuan rumah forum 'Wanita dan Pendidikan' yang menghimpunkan Wanita Pertama enam negara Teluk dan wakil daripada 22 negara. Beliau juga menerima anugerah doktor falsafah dalam bidang arkeologi dari Universiti La Sapienza, Rome, baru-baru ini.
Baik Mozah, mahu pun Rania dan Asma yang berbeza latar belakang, tetapi menjadi bukti barisan Wanita Pertama Arab yang berani, berkeyakinan dan menawan biarpun berasal dari negara Teluk yang konservatif. Kehadiran mereka bukan sekadar menjadi pengiring suami atau menggayakan fesyen pakaian terbaru semata-mata, tetapi membawa misi penting sebagai pejuang kebajikan dan mewakili suara wanita Asia Barat.
Mereka adalah bukti serikandi Arab yang sebenarnya mampu duduk sama tinggi dan berdiri sama rendah dengan Wanita Pertama negara Barat biarpun kemunculan mereka jarang dicanangkan media antarabangsa.
Info: Wanita Pertama Arab
# Pemeisuri Rania, isteri pemerintah Jordan, Raja Abdullah Husein.
# Asma Fawaz Akhras, isteri Presiden Syaria, Bashar al-Assad.
# Mozah memiliki ijazah Sarjana Muda Sosiologi dan menjadi Wakil Khas Unesco.
# Rania terima Ijazah Kehormat Doktor Hubungan Antarabangsa dari Universiti Malaya, (UM) Mei lalu. |
|