SAAT melangkah masuk ke sebuah bilik yang berkeluasan lima meter persegi, kelihatan deretan jersi digantung kemas di setiap sudut.
Jersi yang mewakili kelab bola sepak pelbagai pasukan tempatan mahupun kebangsaan dengan warna-warna menarik seperti merah, biru, hijau dan kuning itu menimbulkan rasa kagum terhadap pemiliknya iaitu Luther Moguup John, 35.
Anak kelahiran Kudat, Sabah itu mengumpul jersi pasukan bola sepak di seluruh dunia atas dasar keunikannya terutama dari segi kombinasi warna, corak, kreativiti dan rekaannya.
Dia telah mengumpul lebih 800 helai jersi pasukan bola sepak daripada skuad yang paling dikenali di dunia hinggalah kelab-kelab kecil di dalam negara.
Ujar kakitangan awam itu, setiap jersi membawa identiti tersendiri sesuai dengan fungsinya iaitu sebagai pengenalan kepada pasukan sebelum memulakan sesuatu perlawanan.
Jersi, pada pandangannya bukan sekadar sehelai pakaian kerana ia direka untuk mewakili nilai-nilai kebanggaan, sejarah dan tradisi sesebuah pasukan.
" Bagi pengumpul jersi bola sepak seperti saya, setiap jersi mempunyai kisah tersendiri.
" Contohnya jersi Itali ini, ia merupakan jersi yang diguna ketika Piala Dunia 2006 iaitu sewaktu pasukan tersebut berjaya meraih gelaran juara dunia buat kali keempat," katanya yang merupakan penyokong tegar pasukan Jerman.
Sungguhpun demikian, dia tidak menafikan bahawa minat yang dimulakan secara intensif sejak sedekad itu bergantung kepada bajet.
Bagi mengurangkan kos, Luther memilih untuk membeli jersi secara talian kerana harganya jauh lebih murah berbanding di kedai-kedai menjual barangan sukan.
HAKIM Amir bersama sebahagian daripada koleksi jersi yang ada dalam simpanannya.
" Kebanyakan koleksi jersi yang ada dalam simpanan saya ketika ini adalah jenis Player Issue dan bukan replika.
" Harga jersi asli ini ialah sekitar RM500 ke atas, sebab itulah saya membeli dalam talian kerana harganya lebih murah dan banyak pilihan, " katanya yang sudah berhabis lebih RM100,000 untuk hobinya itu.
Mengulas mengenai jersi pasukan-pasukan yang bertanding sempena Piala Dunia 2014, setakat ini sebanyak 27 jersi pasukan bertanding telah berada di dalam simpanannya.
Dia memulakan misi mengumpul jersi pasukan-pasukan bertanding sejak Disember 2013 sejurus selepas diperkenalkan oleh pengeluar-pengeluar jenama pakaian sukan.
Jual jersi
Tambahnya, faktor kesediaan dalam pasaran menjadi halangan utama baginya untuk mengumpul kesemua 32 jersi pasukan yang bertanding pada Piala Dunia 2014.
" Jersi-jersi pasukan kurang terkenal dan kurang peminat seperti Iran, Equador, Greece dan Bosnia biasanya tidak dijual atau sangat terhad di negara ini.
" Saya mendapatkan jersi-jersi tersebut dari laman web negara-negara lain, " katanya.
Selain membeli, Luther juga menjual jersi-jersi yang dibelinya jika ada permintaan.
Setiap jersi, kata Luther dijual pada harga yang berlainan mengikut keadaan, sejarah dan cerita-cerita menarik di sebaliknya.
Sementara itu, Abdul Hakim Amir, 42, memulakan hobi mengumpul jersi sejak tahun 1996 atas dasar minat yang mendalamnya terhadap sukan bola sepak.
Menurut bapa kepada dua cahaya mata itu, disebabkan minatnya itu, dia telah mengumpul lebih 1,500 helai jersi pasukan bola sepak dari seluruh dunia.
" Membeli jersi pasukan bola sepak bukan sahaja memberi kepuasan dan kebanggaan kepada saya apabila memakainya.
" Malah ia juga merupakan sumber pendapatan sampingan kepada kelab-kelab bola sepak untuk terus bersaing, " ujar pengurus pembangunan program televisyen di sebuah syarikat penyiaran swasta itu.
HARGA sehelai jersi asli boleh mencecah sehingga RM520.
Tambahnya, apabila memakai jersi, ia umpama mendekatkan diri dengan pasukan yang digemari, sekali gus memberi sokongan moral kepada mereka.
Hakim Amir yang meminati pasukan bola sepak sejak kecil amat berbangga dengan pasukan bola sepak kebangsaan serta pasukan Kuala Lumpur, di samping pasukan negara lain seperti England, Itali Argentina, Perancis.
Dalam pada itu, mengulas mengenai cara dia menjaga jersi-jersinya, Hakim Amir memaklumkan, kesemua jersi yang ada di dalam simpanannya akan dimasukkan ke dalam plastik sebelum digantung.
Ujar anak kelahiran Kuala Lumpur itu, jika jersi-jersi itu dilipat, ia dikhuatiri akan merosakkan logo dan nombor yang dicetak pada jersi tersebut.
" Saya mempunyai sebuah bilik khas untuk mengantung kesemua jersi-jersi ini agar ia tidak mudah rosak.
" Ia sesuatu yang sangat menyedihkan jika jersi-jersi ini rosak begitu sahaja kerana ia dibeli pada harga yang mahal dan sangat terhad, " tambahnya sambil memaklumkan bahawa jersi akan rosak jika dibasuh dengan mesin.
Tandatangan
Antara jersi pasukan bola sepak yang berada dalam simpanan Hakim Amir ialah pasukan Belanda iaitu ketika Kejohanan Eropah pada tahun 1988.
Jersi tersebut telah ditandatangani sendiri oleh legenda pasukan Belanda ketika itu iaitu Frank Rijkaard ketika berkunjung ke Malaysia baru-baru ini.
" Jersi ini dibingkaikan untuk memudahkan saya mengantung di ruang tamu rumah.
" Ia satu kebanggaan kepada saya, saya tidak akan sesekali menjualnya, " katanya sambil memaklumkan bahawa isterinya Azlin Abas, 36, menyokong penuh hobinya itu.
Berbeza pula kisahnya dengan Pengurus Runcit TFC Sdn, Bhd., Keat Au Yong, 29. Sempena kedatangan Piala Dunia 2014 di Brazil, kedainya yang terletak di Kompleks Pertama, Kuala Lumpur diserbu oleh orang ramai untuk mendapatkan jersi-jersi asli pasukan yang bertanding.
Ujar anak kelahiran Segamat, Johor itu, orang ramai mula membeli jersi pasukan yang bertanding pada Piala Dunia sejak bulan Disember selepas beberapa jersi utama pasukan dilancarkan.
JERSI pasukan Jerman, Itali dan Jepun mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat bola sepak di negara ini.
Ujarnya, antara jersi pasukan bertanding yang mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat bola sepak negara ini ialah Jerman, Itali dan Jepun.
" Jersi-jersi keluaran Adidas dan Puma sentiasa mendapat sambutan luar biasa kerana rekaan dan coraknya yang menarik dan unik.
" Saya jangkakan ketika kejohanan berlangsung, jersi-jersi ini akan dijual seperti pisang goreng panas terutamanya pasukan-pasukan elit," katanya ketika di temu bual di kedainya baru-baru ini.
Katanya, terdapat dua gred jersi yang dijual di kedainya iaitu Player Issue dan replika.
Tambah Keat, jersi Player Issue dijual pada harga sekitar RM350 hingga RM520 manakala bagi jersi replika ia dijual sekitar RM300.
Mengulas mengenai lambakan gerai-gerai yang menjual jersi tiruan, Keat memaklumkan, penguatkuasaan yang lemah menjadi punca utama masalah ini berleluasa.
Tanpa menyalahkan peniaga yang menjual baju tiruan itu, Keat menjelaskan, dia faham akan keperluan perniagaan dan peluang yang ada disebabkan tiada kedai yang menjual pakaian rasmi.
" Peniaga-peniaga ini juga mahu hidup. Tetapi alangkah baik jika ada kedai yang menjual jersi asli? Ia bukan sahaja boleh membangkitkan minat peminat, namun memberi pilihan kepada para pembeli, " katanya.