Proton Saga model awal yang dijual di UK. Kredit foto: Facebook / Practical Classics
Mereka yang gemar menonton drama komedi Mr. Bean pasti pernah melihat kelibat kereta Proton yang muncul dalam beberapa episod yang ditayangkan.
Pada masa sama, mungkin ramai rakyat Malaysia sendiri tidak tahu kereta-kereta keluaran Proton menerima sambutan positif di United Kingdom (UK).
Apa yang diintai Mr. Bean di belakang kereta Proton? Kredit foto: Carian Google
Practical Classics iaitu sebuah majalah di UK yang mengkhususkan kepada kereta-kereta klasik memberi penghormatan kepada kereta-kereta Proton melalui laman Facebook pada 6 Disember lalu.
Kata pengendalinya, walaupun tidak glamor, kereta-kereta Proton yang pertama di UK membuktikan harga yang murah tidak semestinya menunjukkan kualiti rendah atau tidak boleh diharap.
"Saya melihat contoh ini beberapa hari lalu dan saya perlu mengatakannya, ia memang terbaik dan penghargaan sebenar kepada pemiliknya," jelasnya.
Kredit foto: Facebbok / Practical Classics
Salah seorang warga Britain yang mengikuti laman Facebook berkenaan menyatakan mendiang bapanya pernah memilik Proton Saga 1.3 model awal.
"Selepas bertahun-tahun tanpa kereta Proton, saya sedang cuba memujuk seorang pemilik Persona 2.0 (untuk menjualnya kepada saya)," katanya.
Kredit foto: Facebook
Seorang lagi warga Britain memuji Proton Saga 1.5 LE SE model 1990 miliknya yang masih lagi dalam keadaan baik walaupun berusia hampir 30 tahun dan dipandu lebih 30,000 batu.
Seperti yang diceritakan oleh seorang pengikut laman Facebook Practical Classics, mendiang jirannya yang juga seorang jurutera tertarik dengan model awal yang dikeluarkan Proton.
"Dia seorang yang cerewet, jadi kualitinya sudah tentu baik. Sebelum itu, dia memiliki kereta Vauxhall, Rover dan Austin termasuk Mini, Maxi, Allegro dan Triumph Spitfire," katanya.
Kredit foto: Facebook
Apabila seorang pengikut laman Facebook tersebut menyatakan bahawa but kereta Proton mengeluarkan bunyi 'clang' yang kuat semasa ditutup, seorang pengikut yang lain menjawab, bunyi yang sama juga dapat didengar pada kereta Mercedes 190.
Kredit foto: Facebook
Model-model awal Proton mempunyai nilai sentimental yang tinggi dalam kalangan rakyat Britain yang berbangga memilikinya, jauh berbeza dengan sikap sinis segelintir rakyat kita sendiri yang pernah memperlekehkannya sebagai 'kereta tin Milo'. - CARI |