|
Rooftop Bawa Artis Menyanyi Di Bumbung
Oleh: EDITORIAL MH
Tarikh: 19 Jun 2012
Saluran Ceria Anda, ntv7 bakal membawa sebuah rancangan hiburan terbaru berjudul 'Rooftop' bermula 6 September ini. Berbeza dengan rancangan nyanyian biasa, Rooftop akan membawa penonton untuk melihat persembahan artis-artis menyanyi di atas bumbung sebuah bangunan berlatarbelakangkan keindahan bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur.
Bakal ke udara pada setiap Khamis, jam 8.30 malam, Rooftop bertemakan santai di mana artis-artis akan membuat persembahan di puncak pusat membeli belah Lot 10. Difahamkan, konsep sebegini merupakan pertama kalinya direalisasikan di Malaysia.
Rancangan ini mengetengahkan 14 artis popular seperti Estranged, Projek Pistol, Aizat, Bunkface, Drama Band, Liyana Fizi, Diandra Arjunaidi, Najwa Latif, Akim, Nawhki & Clan, Adira, Awi Rafael, Hafiz dan Azlan & Typewriter sepanjang 13 episod rancangan itu disiarkan.
Bersiaran selama setengah jam untuk setiap episod, Rooftop bukan sahaja menyajikan persembahan hebat artis malah membawa penonton mengenali lebih mendalam mengenai artis pujaan mereka.
Menggunakan genre dokumentari-muzikal, Rooftop dilihat mampu menarik ramai penonton kerana pendekatannya yang segar, lebih intim dan menyeluruh melalui temubual artis yang lebih bersifat peribadi serta pilihan lagu hit yang dirakamkan secara langsung.
Lebih menarik, majalah Media Hiburan dan blog hiburan, Sensasi Selebriti telah dipilih menjadi media rasmi untuk program yang julung-julung kalinya diadakan ini.
sumber : Media Hiburan Online |
|