Alif Teega, Aisyah Hijanah masing-masing bakal berdepan 10 tuduhan salah guna dana awam
Pempengaruh, Alif Teega atau nama sebenarnya Mohd Hazalif Mohd Hazani, 30 didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan menyalahgunakan dana awam lebih RM63,000 menerusi dua program infaq, April dan Jun lalu. - Foto NSTP
SHAH ALAM: Pasangan suami isteri yang juga pempengaruh, Alif Teega dan Aisyah Hijanah tiba di Mahkamah Sesyen di sini, jam 8.51 pagi tadi, masing-masing akan didakwa 10 pertuduhan dipercayai membabitkan salah guna dana awam. Alif atau Mohd Hazalif Mohd Hazani, 30, dan Aisyah Hijanah Azhari, 26, yang sebelum ini mencetuskan kontroversi rumah tangga akan didengar di hadapan Hakim Datuk Anita Harun. Alif yang memakai kemeja biru gelap sementara Aisyah mengenakan jubah berwarna hitam, sempat melemparkan senyuman kepada wartawan yang menanti di mahkamah sejak awal pagi. Ketika disapa wartawan keadaan dirinya, hanya Aisyah yang menjawab 'Alhamdulillah'.
Jumaat lalu, Alif mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan salah guna harta bagi program infaq iftar di Mekah, Syria dan Palestin serta korban, berjumlah RM63,605.48 pada April serta Jun lalu. Pada 11 Julai lalu, pasangan itu ditahan reman tujuh hari, bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa untuk mendapatkan rasuah, bermula 2022 lalu. Ia susulan, tular di media sosial mengenai seorang pempengaruh yang dikatakan mengambil komisen daripada kutipan derma, dengan peratusan yang tinggi. Selain itu, pasangan itu juga dikatakan hidup dalam kemewahan sehingga menimbulkan pelbagai tanda tanya daripada warga siber, bagaimanapun, mereka menafikan semua dakwaan penyelewengan dan pecah amanah.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/09/1301806/alif-teega-aisyah-hijanah-masing-masing-bakal-berdepan-10-tuduhan-salah
|