|
kredits to Berita Harian
Sahut cabaran Bulgaria
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
Pengalaman pertama Mila AF5 bertanding di pentas antarabangsa
BUAT pertama kali, negara ini menghantar wakil ke Festival Muzik Pop Antarabangsa Discovery di Varna, Bulgaria, yang bakal berlangsung pada hujung minggu ini. Wakil itu pula bukan calang-calang peserta kerana ia hadir dalam bentuk juara Akademi Fantasia kelima (AF5), Noorsyarmilla Jirin atau Mila.
Penyanyi kecil molek dengan vokal lantang itu berlepas ke negara terbabit pada jam 9 malam, 15 Mei (semalam) dan akan tiba di lokasi pertandingan selepas 18 jam penerbangan. Penyanyi ini akan berada di negara berkenaan selama lima hari.
Setelah beberapa jam berehat, Mila akan berentap bersama peserta lain yang kebanyakannya dari negara Eropah pada 17 Mei, untuk penilaian vokal. Pada sesi berkenaan, dia akan menyampaikan lagu ciptaan Ajai, Aku Lebih Tahu. Keesokannya penyanyi berusia 20 tahun dari Pulau Pinang ini akan mempersembahkan pula lagu Ilham Di Matamu, juga ciptaan Ajai, bagi kategori Lagu Terbaik.
Tahun lalu, peserta dari Itali, Nelio muncul pemenang kategori persembahan manakala lagu Hey Jan dendangan peserta Armenia pula muncul juara bahagian ciptaan terbaik. Sehingga kini, lebih 40 negara sudah pun menghantar wakilnya ke pertandingan berkenaan, yang juga satu-satunya pertandingan muzik bertaraf antarabangsa di Bulgaria.
Selain Malaysia, antara negara yang turut bersaing pada festival yang sudah pun memasuki edisi ke-17 itu tahun ini ialah Sepanyol, Poland, Romania, Italia, Lithuania, Moldova, Uzbekistan, Russia, Cyprus, Malta dan tuan rumah, Bulgaria.
Sudah tentu Mila tidak dapat mengelak daripada perasaan berdebar. Apatah lagi, inilah pengalaman pertama Mila bertanding pada peringkat antarabangsa selepas menjuarai AF5. Mila penyanyi yang amat baru dan belum punya banyak pengalaman dalam pertandingan. Tetapi, pada masa yang sama Mila berasa cukup bertuah apabila dipilih mewakili negara ke pertandingan sehebat ini.
"Mila berharap sangat dapat melakukan persembahan terbaik pada pertandingan hujung minggu ini, berkat latihan pesat seminggu yang Mila ikuti. Pada latihan itu, bukan hanya persembahan vokal yang kami titik beratkan, tetapi perhatian juga turut diberikan kepada aspek persembahan.
"Mila akan menari sambil menyanyi, bagi mencuri sedikit markah untuk kategori persembahan," katanya yang mengaku agak risau kerana sedikitpun tidak mengetahui keupayaan peserta lain.
Apatah lagi, pada festival yang dianjurkan sejak 1992 itu, seramai lapan juri akan mengadili persembahan peserta, membuatkan si genit ini bertambah risau.
"Mila sendiri tidak menaruh harapan yang tinggi untuk pulang dengan kejayaan. Menang atau kalah tentunya adat pertandingan. Apa yang mampu Mila lakukan adalah untuk memberikan persembahan yang diharap dapat memikat hati pengadil, menerusi lagu dalam bahasa Melayu kita," katanya yang dipilih ke festival itu menerusi proses penilaian yang dilakukan pihak penganjur.
Katanya, dia ingin sekali menonjolkan kepada masyarakat luar, betapa negara ini juga kaya dengan bakat. Bukan saja lagu daripada Malaysia dapat menyaingi ciptaan negara luar, bahkan bahasa Melayu itu cukup indah, untuk diperdengarkan kepada mereka.
Pemergian Mila ke Bulgaria ditemani pegawai kanan Maestro Talent, Liza Ilias. Selain mereka, terbang sama ialah beberapa krew rancangan Wazzup Mila, yang merakam aktiviti penyanyi Persis Mutiara ini sepanjang pertandingan. Malah, ketika masih menjalani latihan lagi, rakaman sudah pun bermula.
Kata Mila, sempena pembabitannya dalam pertandingan itu, sebuah rancangan diberi nama Wazzup Special akan ditayangkan selama sejam pada tarikh yang akan diumumkan kemudian. |
|