Linda tak nak, Beego mahu selamatkan rumah tangga

Linda nekad dengan keputusan untuk berpisah daripada suami, Beego. Foto NSTP Asyraf Hamzah
KUALA LUMPUR: "Saya akan cuba selamatkan rumah tangga ini." Itu reaksi pelakon, Beego atau nama sebenar, Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, kepada wakil media sebaik tiba di Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, kira-kira jam 9.45 pagi tadi. Beego tampil bersama peguam dikenali sebagai Akmal untuk sebutan pertama kes perceraian bersama Linda Hashim atau nama penuh, Norhazlinda Hashim, 41.
Beego berharap ada penyelesaian terbaik untuk kemelut rumah tangganya. "Hari ini sebutan pertama untuk (kes) saya. Kami akan cuba bincang. Kalau tanya saya mengenai permintaan dia (permohonan cerai), kita tidak akan lafaz hari ini. "Kita mungkin akan bawa kepada satu hari lain, Saya akan cuba selamatkan rumah tangga ini. Tetapi, kita tengok pihak dia (isteri) bagaimana. Saya harap yang baik-baik untuk saya... Doakanlah," katanya.
Beego mahukan rundingan terakhir sebelum memutuskan apa-apa penyelesaian. "Buat masa sekarang mungkin niat dia hendak saya lepaskan. Bagi saya pula, sekurang-kurangnya ada satu rundingan terakhir sebelum kita selesaikan apa-apa. Kita hendak tahu kenapa dan sebagainya. Kalau boleh diselamatkan, kita selamatkan.
"Tolong doa yang baik-baik untuk saya. Saya pun sudah lama tidak jumpa dia (isteri)," katanya. Sementara itu, Linda hadir bersama peguam syarie, Nurul Fadzilah Kamaluddin pada jam 10.40 pagi. Ketika ditanya wakil media, Linda nekad dengan keputusan untuk bercerai.
"Semoga dipermudahkan urusan saya, hari ini. Saya fikir sampai di sini sahajalah, saya sudah tidak boleh (teruskan perkahwinan)," katanya. Linda memfailkan permohonan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, awal Januari lalu, atas alasan sudah tiada persefahaman.
Sebelum ini, Linda dan Beego bercerai pada 27 Mac 2023, namun, rujuk semula pada 9 April. Kira-kira sebulan kemudian, Linda dan Beego hadir ke mahkamah sama bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak. Dalam laporan media sebelum ini, Linda mendedahkan, mereka pernah bercerai buat kali kedua selepas beberapa bulan rujuk pada April 2023. Bagaimanapun, mereka tidak mendedahkan perkara itu kerana bimbang dianggap mempermainkan institusi perkahwinan. Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada Jun 2013. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6.
https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2025/03/1369120/linda-tak-nak-beego-mahu-selamatkan-rumah-tangga
|