'Kami bina 10 khemah kanvas atas bukit untuk 500 penduduk berlindung daripada banjir'
[size=14.399999618530273px]Abd Samad menunjukkan khemah menggunakan kanvas, kayu dan papan lapis dibina secara bergotong-royong oleh penduduk kampung sebagai persediaan menghadapi banjir gelombang kedua yang dijangka lebih besar. Foto ihsan penduduk
[size=14.399999618530273px]
bhnews@@bh.com.my KUALA KRAI: Sebanyak 10 khemah menggunakan kanvas, kayu dan papan lapis dibina secara bergotong-royong oleh penduduk kampung di sini, sebagai persediaan kemungkinan berlaku banjir gelombang kedua yang dijangka lebih besar. Penghulu Mukim Kuala Nal, Abd Samad Che Yajid, berkata semua khemah yang dibina itu dapat menampung sehingga 500 penduduk dari empat kampung iaitu Kampung Kuala Nal, Kampung Pasir Era, Kampung Kelubi dan Kampung Kuala Hau. Katanya, sebelum banjir gelombang pertama yang berlaku baru-baru ini, mereka mengadakan mesyuarat sebagai persiapan awal menghadapi sebarang kemungkinan dengan mengambil penanda aras bah kuning yang berlaku pada 2014. "Ketika banjir gelombang pertama, hujan berterusan menyebabkan air naik terlalu cepat akibat limpahan Sungai Kelantan di Kuala Krai sehingga kami terkepung susulan jalan utama dinaiki air setinggi empat meter.
"Ketika itu, penduduk mula bergotong-royong membina khemah sekiranya berlaku banjir di luar jangka, mereka boleh menyelamatkan diri ke kawasan bukit berhampiran dan berlindung di khemah yang sudah disediakan.
"Bagi mana-mana keluarga yang mempunyai warga emas dan pesakit dinasihatkan menghantar mereka lebih awal di rumah ahli keluarga di kawasan atau daerah lain yang lebih selamat," katanya. Katanya, semua khemah itu dibina ketika gelombang pertama banjir dan mengambil keputusan untuk mengekalkannya sehingga tamat musim tengkujuh. "Pada masa sama, pembinaan khemah yang ditanggung sendiri oleh penduduk turut dilengkapi tempat memasak," katanya. Abd Samad berkata, setiap kali berlaku banjir penduduk tidak boleh ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang berada di luar disebabkan jalan utama di kawasan penempatan mereka ditenggelami banjir. "Disebabkan itu kami terpaksa mengambil inisiatif membina khemah kerana hanya itu satu-satunya cara yang ada untuk penduduk berlindung. "Justeru, kami berharap kerajaan menyediakan PPS yang kekal di kampung ini supaya tidak hanya bergantung kepada satu PPS saja di luar kampung ini," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/12/1335076/kami-bina-10-khemah-kanvas-atas-bukit-untuk-500-penduduk-berlindung
|