Oleh: Yeo Bee Yin
Saya merujuk tulisan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bertajuk “Who is to be blamed for Selangor Water Woes?”.
Beliau dengan cemerlang memasukkan sebahagian fakta sambil tidak mempedulikan sebahagian fakta lain, mengakibatkan pembaca percaya kerajaan Selangor sahaja yang mesti dipersalahkan berkaitan krisis air ini.
Pertama, saya menyatakan kekurangan bekalan air semasa adalah disebabkan perubahan corak hujan akibat perubahan iklim. Oleh itu, sementara ramalan kerajaan persekutuan pada 2010 nampaknya sedang menjadi nyata krisis air akan berlaku pada 2014, punca kepada krisis ini bukan pertumbuhan permintaan seperti yang diramal kerajaan persekutuan.
Berdasarkan trend pertumbuhan permintaan, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim percaya pada waktu itu Selangor mempunyai bekalan air yang mencukupi untuk memuaskan permintaan sehingga 2019. Walaupun beliau mungkin membuat kesilapan dengan tidak mengambil kira risiko cuaca (perubahan corak hujan tahun ini berlaku kali pertama dalam sejarah), kerajaan persekutuan mesti berhenti berkelakuan seolah-olah berkata ‘kan kami dah cakap’ hanya kerana ia secara kebetulan, benar dalam ramalannya tentang krisis air.
Kedua, Khairy menunjukkan keengganan kerajaan Pakatan Rakyat untuk membenarkan Syabas menaikkan tarif air menyebabkan Syabas hilang keuntungan untuk mengurangkan non-revenue water (NRW).
Saya ingin mengingatkan Khairy walaupun tanpa kenaikan tarif air, tarif air Selangor sudah pun menjadi yang kedua tertinggi di negara ini. Faktor sebenar kenapa Syabas gagal mengurangkan NRW ialah kerana salah guna dana rakyat.
Ketiga, Khairy dan menteri-menteri Barisan Nasional mendakwa jika Langat 2 disiapkan, kita akan dapat menghindarkan krisis air.
Saya mahu ingatkan Khairy kalau pun kerajaan negeri meluluskan projek Langat 2, paling awal pun loji tersebut boleh berfungsi ialah 2015. Bagaimana itu boleh menyelesaikan krisis air sekarang? Tambahan pula, Khairy dengan mudahnya mengabaikan fakta rangkaian saliran air di Lembah Klang adalah tidak bersambung sesama sendiri akibat pelaburan rendah terhadap sistem perpaipan selama bertahun-tahun oleh Syabas.
Sekarang, masalah terbesar kita ialah kekurangan air di Sungai Selangor, yang membekalkan 60% air untuk Lembah Klang. Langat 2 secara geografinya jauh dengan Sungai Selangor.
Dengan grid air yang begitu caca marba sekarang, kalau pun Langat 2 siap sepenuhnya sekarang, Syabas tidak akan mampu untuk menyalurkan air kepada pengguna yang terkesan dengan kekurangan air di Sungai Selangor. (Itu sebabnya kenapa kelulusan Langat 2 harus hadir bersama pengambilalihan aset air.)
Keempat, Khairy dengan bangganya menyebut demi rakyat, kerajaan persekutuan memberi pampasan kepada Syabas dengan mengambil alih bonnya bernilai RM6.2 bilion dan menyuntik dana berjumlah RM400 juta untuk operasi dan penyelenggaraan.
Tetapi bagaimanakah langkah masuk campur ini membantu Syabas mengurangkan NRW? Khairy nampaknya lupa walaupun langkah intervensi diambil secara berulang kali oleh kerajaan persekutuan, rangkaian saliran Syabas masih berselerak seperti dahulu dan NRW masih berada sekitar 33% seperti 2007.
Malah, sebenarnya disebabkan kerajaan persekutuan berulang kali memberi bantuan kewangan kepada syarikat konsesi berprestasi rendah yang membolehkan mereka berulang kali menolak tawaran kerajaan negeri untuk mengambil alih aset air.
Saya juga mahu mengingatkan Khairy ini adalah kali pertama sejak lima tahun, kerajaan persekutuan rela menggunakan Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air untuk membenarkan pengambilalihan secara paksa terhadap syarikat konsesi air. Jadi sekarang, siapa yang patut dipersalahkan kerana melengahkan penstrukturan semula air?
Akhir sekali, Khairy menyifatkan perjanjian air yang ditandatangani dalam MoU terbaru ini, sebagai perjanjian yang baik untuk Selangor memandangkan kerajaan persekutuan akan menyediakan RM9.65 bilion untuk mengambil alih syarikat-syarikat air. Beliau mengabaikan satu lagi fakta penting di bawah pelan penstrukturan semula air yang asal, kerajaan persekutuan akan membeli aset air daripada negeri dan syarikat-syarikat konsesi. Ia dilakukan di Negeri Sembilan, Perlis dan Johor.
Cumanya di Selangor, kami memohon supaya operasi aset air diletakkan di bawah syarikat GLS Selangor, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) berbanding GLC kerajaan persekutuan, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). Oleh itu, saya tidak melihat bagaimana aturan sebegini akan membuat pembayaran kerajaan persekutuan bagi aset air lebih baik berbanding negeri lain.
Secara keseluruhan, kita boleh terus berbahas sampai ke malam siapa yang harus dipersalahkan tentang krisis air Selangor dan kita tidak akan mencapai kata sepakat.
Saya percaya daripada kita menuduh sesama sendiri, kita harus menumpukan perhatian kepada cara untuk bersedia menghadapi musim kemarau yang akan tiba, dijangka lebih serius tahun ini.
Mengenai pengurusan air jangka panjang, saya berharap supaya syarikat konsesi air, kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan akan mencapai penyelesaian secara baik secepat mungkin supaya kita boleh memulakan penstrukturan semula air di Lembah Klang.
Jika Khairy benar-benar runsing tentang kebajikan rakyat Selangor, saya harap beliau boleh menggunakan kapasitinya sebagai menteri untuk mendesak kerajaan persekutuan memberikan sokongan penuh kepada kerajaan negeri tanpa mempedulikan perbezaan politik dalam hal pengurusan krisis air jangka pendek dan penstrukturan semula air jangka panjang.
* Yeo Bee Yin ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Damansara Utama.