|
|
EXCO Terengganu dituduh di mahkamah esok
Ilah Hafiz Aziz - Februari 23, 2026 @ 1:53pm
KUALA LUMPUR: EXCO kerajaan negeri yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki salah guna kedudukan beberapa tahun lalu akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Terengganu, esok.
BH difahamkan, SPRM sudah mendapatkan keizinan daripada pendakwa raya untuk mendakwa pemimpin politik berkenaan.
Beliau difahamkan akan didakwa pada jam 9 pagi esok.
Semalam, BH melaporkan, SPRM Terengganu menahan EXCO kerajaan negeri kerana disyaki salah guna kedudukan dengan mengarahkan kedua-dua anaknya diambil bekerja di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.
Satu sumber berkata, suspek lelaki berusia 60-an ditahan pada jam 11.15 pagi semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kemaman dan siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan terbabit pada 2018 dan 2020.
Suspek dipercayai menggunakan jawatan dan kedudukannya sebagai EXCO dan Pengerusi Lembaga Pengarah sebuah syarikat untuk mengarahkan kedua-dua anaknya diambil bekerja di dua buah anak syarikat kerajaan negeri.
Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|