Tindakan terhadap GISBH dibuat hasil dapatan siasatan, bukan semberono - Razarudin
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain
KUALA LUMPUR: Pelbagai bentuk kesalahan dikesan wujud dalam aktiviti yang dijalankan oleh rangkaian GISB Holdings (GISBH) menerusi siasatan dibuat sepanjang Operasi Global (Op Global) dilaksanakan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata antara kesalahan yang dikesan sepanjang siasatan dari Fasa 1 Op Global sehinggalah Fasa 4 adalah pengabaian kanak-kanak, penganiayaan kanak-kanak, penderaan dan eksploitasi dalam mencapai hasrat dan matlamat organisasi GISBH. "Justeru setiap tindakan yang diambil bukanlah secara semberono tetapi ianya dibuat berlandaskan fakta dan bukti yang wujud dalam siasatan. "Siasatan kita terhadap GISBH dijalankan secara terperinci mengikut segala peruntukan dan lunas undang-undang sedia ada," katanya kepada BH hari ini.
Razarudin berkata, siasatan turut dilakukan mengikut kes jenayah iaitu Kanun Keseksaan (KK) seperti Seksyen 506 KK, Seksyen 354 KK dan lain-lain serta ada antara kertas siasatan telahpun dituduh di mahkamah. "Pada asasnya siasatan dibuat berdasarkan laporan dan maklumat yang diterima sebelum risikan dijalankan pihak polis. "Pihak polis menjalankan siasatan secara berhati-hati dalam memastikan tindakan terhadap GISBH dapat dijalankan dengan telus dan menyeluruh. "Seperti dijelaskan sebelum ini, kita menjalankan siasatan di bawah undang-undang yang ada untuk kesalahan seperti Akta Kanak-kanak, Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak, Akta Pemerdagangan Manusia,Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan akta-akta lain," katanya. Razarudin berkata, Op Global itu juga dijalankan dengan kerjasama agensi-agensi penguatkuasaan lain dalam membantu setiap kesalahan yang wujud sepanjang siasatan GISBH. "Selepas siasatan, banyak kesalahan dilakukan mereka (GISBH) timbul seperti tidak membayar KWSP, tidak membayar SOCSO, tidak mendaftarkan pusat jagaan atau rumah amal, malah mereka juga didapati tidak membayar gaji. "Ingin saya tegaskan juga, maklumat yang diperoleh ini bukan hanya berdasarkan laporan polis yang dibuat, malah juga daripada kenyataan ahli yang membantu pihak berkuasa dalam siasatan yang dijalankan sehingga mendedahkan kesalahan yang berlaku dalam organisasi GISBH. "Bukan itu sahaja, terdapat juga pelbagai bentuk klip video yang tular menunjukkan elemen penganiyaan dan pengabaian berlaku di rumah amal di bawah kendalian GISBH," katanya. Beliau mengulas kenyataan jurucakap Gerakan Pulangkan Anak-Anak Kami (GPAAK), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, yang mendakwa seorang pegawai dikatakan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengakui tiada kes terhadap isu kanak-kanak diselamatkan dalam Op Global. Video itu turut mempersoalkan justifikasi kanak-kanak yang diselamatkan itu ditahan sehingga tempoh dua bulan susulan pegawai itu mendakwa tiada kes penderaan terhadap mereka. Razarudin menegaskan bahawa segala tindakan polis adalah untuk menyelamatkan mangsa-mangsa yang diabaikan, dianiayai, didera atau dieksploitasi selain menangkap dan seterusnya mendakwa individu bertanggungjawab dalam kesalahan tersebut," katanya. Kelmarin, seramai 96 ibu bapa kepada 174 kanak-kanak yang dikaitkan dengan GISBH memohon agar anak mereka dipulangkan semula ke pangkuan keluarga masing-masing berikutan sudah hampir lebih sebulan tidak berjumpa. Tun Faisal Ismail mendakwa, ia kerana anak-anak tersebut bukan diselamatkan oleh polis dan JKM seperti dikatakan media, sebaliknya ditahan, dipisah serta disembunyikan secara tidak sah dari segi undang-undang. Dakwanya keadaan tersebut melanggar hak asasi manusia, Artikel 9 dan 18 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak(CRC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1311152/tindakan-terhadap-gisbh-dibuat-hasil-dapatan-siasatan-bukan
|