LAWAK KE DER 2 PIKAT HATI PENONTON
by ABGTEROR on OCTOBER 1, 2012
in HIBURAN
LAWAK KE DER 2 PIKAT HATI PENONTON | Gabungan Nabil Ahmad dalam pementasan Lawak Ker Der musim kedua bersama kumpulan Boboi yang dianggotai oleh Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik ternyata menjadi apabila persembahannya berjaya memikat hati penonton.
Turut memegang amanah sebagai pengacara pada pementasan yang diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya itu, Nabil muncul dengan tarian Lawak Ker Der Style yang menyebabkan satu dewam pada persembahan malam pertama itu ketawa melihat aksinya.
Malah watak Afdlin dan Harun semasa persembahan pertama tenggelam apabila watak pengawal keselamatan lapangan terbang dan pramugari yang dibawa Nabil berjaya menarik perhatian penonton pada malam itu.
Lawak Ker Der 2 sedang dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya dari 28 September lalu hingga 3 Oktober depan.
Selain Boboi ia turut menampilkan Jozan (Zizan Razak dan Johan) dan Harith Iskander yang turut menguasi pentas dengan cara yang tersendiri.
intelligent nation
Dalam pada itu, usaha kumpulan Jozan juga nyata tidak mengecewakan dan lawak yang dipentaskan berkonsepkan sketsa komedi cuma barangkali ia terlalu meleret sehingga menimbulkan sedikit rasa bosan.
Bagaimanapun kelincahan dan keserasian mereka di atas pentas cukup hebat dan kolaborasi itu nyata memberi kepuasan kepada penonton.
Tidak ketinggalan Harith yang muncul dengan ‘stand-up comedy’ berkisarkan mengenai kehidupan biasa rakyat Malaysia dan cerita yang disampaikan cukup dekat dengan hati penonton.
Persembahan Harith yang banyak menggunakan bahasa Inggeris bukanlah satu penghalang untuk penonton bergelak ketawa dengan lawak yang dibuatnya itu.
Lawak Ker Der mampu menjadi satu ikutan dan menguasi pentas Istana Budaya dengan cara tersendiri sekaligus mengangkat martabat para pelawak yang selama ini sering diperlekehkan.
Secara keseluruhannya persembahan Lawak Ker Der 2 selama tiga jam itu sama hebat seperti mana pada musim pertama dan tidak hairan jika pihak Istana Budaya akan melanjutkan pementasan itu untuk musim ketiga.Harga tiket masih boleh didapati dikaunter pembelian tiket Istana Budaya untuk persembahan 1 hingga 3 Oktober atau hubungi 03-41478600.
Harith Paling Bersinar Berbanding Jozan Dan Boboi
Kemaskini oleh Sara pada October 2, 2012
Komedi merupakan sesuatu yang spontan. Payah sekali bagi sesetengah individu yang memegang status pelawak untuk memberikan persembahan optimum tatkala berada di hadapan ratusan orang ramai.
Namun, Harith Iskander tidak mengecewakan para penontonnya apabila beliau tampil dengan lawak spontan mengenai kisah hidupnya dan fakta tingkah laku seseorang manusia dalam permasalahan yang dihadapi.
Kebijaksanaan dalam pergabungan cerita yang dilakukan beliau sedikit sebanyak mengangkat tinggi nama beliau sebagai pelawak paling otai dengan lawak yang sempurna.
Apa-apa pun, sebagai penonton pasti mereka turut inginkan persembahan memukau daripada Jozan dan Boboi memandangkan mereka acapkali terlibat dengan rancangan lawak.
Jozan tampil kurang menyengat dengan lawak jenaka yang ditonjolkan. Lakonan berunsurkan kisah cinta 3 segi itu kurang mendapat sambutan dengan intipati yang agak membosankan dimana Johan sebagai Nazmi manakala Zizan sebagai Nazman dan watak Nasmidah merupakan lakonan gabungan antara Zizan dan Johan.
Seterusnya, Boboi pula tampil dengan imej kebiasaannya iaitu kanak-kanak dengan mengungkapkan ayat kontroversi mengenai “Talak” yang kian hangat akibat lakonannya di dalam filem “Untuk 3 hari”.
Jalan penceritaan Harun Salim Bachik sebagai Datin Sally yang menemubual hantu iaitu Afdlin Shauki turut mengecewakan penonton apabila intipatinya kosong. Walaubagaimanapun, dendangan lagu dan lirik yang dinyanyikan secara tersendiri memikat hati para penonton.
Menerusi temubual yang dijalankan, Pengarah Lawak Ke Der iaitu Hans Isaac turut mempertahankan pelawak-pelawaknya.
”Komedi merupakan sesuatu yang spontan, ianya amat payah untuk dipersembahkan. Tidak semua lawak jenaka yang dilakukan hari ini, akan menjadi ulangan untuk dilakukan pada hari esok”.
Manakala, Afdlin Shauki turut menyuarakan, “Komedi ini sebenarnya bergantung kepada emosi dan tenaga pelawak tersebut”. Tambah Johan pula, beliau turut menyatakan, “Komedi ibarat perniagaan. Ada untung, ada rugi”.
Pementasan Lawak Ke Der pada tahun lalu mendapat sambutan cukup memberangsangkan. Malah, ramai berasa kecewa kerana tidak berpeluang mendapatkan tiket. Atas faktor itu, Tall Order Productions Sdn Bhd mempersembahkan sekali lagi pementasan Lawak Ke Der untuk tontonan umum.
Jadi, sudahkah anda mendapatkan tiket? Kalau belum, baik bertindak bertindak segera kerana tiket laris bagaikan pisang goreng panas. Hanya tinggal sedikit sahaja.
Baiklah, menghiburkan atau tidak Lawak Ke Der musim kedua ini? Pasti soalan yang bermain di fikiran anda bukan? GUA tidak mahu buat perbandingan dengan musim pertama kerana mereka bukan berikan lawak yang sama. Sebaliknya idea baru.
Secara peribadi, GUA menganggap penampilan Nabil paling menyerlah berbanding Jozan, Boboi dan Harith Iskander. Awal-awal lagi Nabil telah memecah tawa penonton dengan kisah seluar ketat dan seluar harem. Tambah gamat apabila Nabil menyanyi dan menari Lawak Ker Der Style yang diadaptasi daripada lagu Korea popular Oppa Gangnam Style. Begitu juga dengan gabungannya bersama Boboi, watak pramugari yang dilakonkan mendominasi penampilan Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik. Nabil membuktikan dia masih ‘kaya’ dengan idea lucu. Bukan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
Bagaimanapun, GUA agak kecewa dengan persembahan Boboi. Afdlin dan Harun gagal membuatkan GUA ‘pecah perut’. Malah, ada lawak yang dibuat terasa bosan. Mungkinkah mereka kekurangan idea kerana sibuk dengan komitmen lain? Paling penting, Afdlin sempat ‘memerli’ tentang isu perceraian yang dikaitkan dengan filem arahannya, Untuk Tiga Hari. Babak itu berlaku ketika pengumuman dibuat di dalam pesawat yang mahu berlepas ke Korea.
Dalam pusingan kedua, Boboi muncul dengan persembahan kaunseling hantu. Apa yang boleh GUA katakan, ia membosankan. GUA perhatikan ramai juga penonton yang kaku tidak berperasaan. Hanya ada dua kemungkinan. Satu, persembahan Boboi memang tidak kelakar atau satu lagi sebab mungkin kerana penonton sudah mula hilang konsentrasi kerana persembahan pada malam pertama itu terlalu meleret sehingga ke tiga jam.
Sementara itu, usaha kumpulan Jozan juga nyata tidak mengecewakan. Keserasian duo ini tidak boleh disangkal. Masing-masing bagaikan dapat membaca pemikiran pasangan. Walaupun GUA ketawa berdekah-dekah, GUA agak kurang berkenan dengan penampilan bertudung mereka. Rasanya lebih baik pakai rambut palsu atau muncul dengan tema yang tidak memerlukan watak wanita. Entahlah!
Satu kelebihan Jozan berbanding Boboi adalah sketsa yang seratus peratus berbeza daripada persembahan sebelumnya. Idea segar yang dipersembahkan Jozan nyata cukup memikat. Bukan mudah untuk membawakan pelbagai watak dalam satu-satu persembahan dan mereka berjaya menggalas tanggungjawab tersebut dengan cemerlang.
Mungkin mereka berikan apa yang penonton mahukan. Masing-masing punya pendapat sendiri.
Tidak ketinggalan Harith Iskander yang muncul dengan 'stand-up comedy'. Pelawak gred A ini muncul dengan kisah-kisah biasa yang dilalui oleh rakyat Malaysia. Walaupun temanya mudah, namun Harith berjaya menghiburkan penonton. Satu keistimewaan Harith ialah, dia bijak bermain dengan ekspresi wajah dan tahu di mana klimak penceritaannya!
Secara keseluruhan, GUA menganggap Lawak Ke Der musim kedua ini menghiburkan. Namun, adalah lebih baik masa persembahannya dipendekkan sedikit kerana tempoh tiga jam itu boleh membuatkan konsentrasi penonton terganggu. Lebih-lebih lagi jika mereka menonton pementasan pada hari bekerja. Pabila jam menginjak ke 11.30 malam, pasti mereka sudah mula rasa gelisah kerana mula teringat esok pagi-pagi sudah harus ke pejabat.
Lawak Ker Der 2 lebih mantap
MARINA SAHABUDIN FOTO: SAFWAN MANSOR
2 Oktober 2012
Terbaikk....Lawak Ker Der 2 lebih mantap
TIGA jam berada di Istana Budaya (IB), bagi menyaksikan Lawak Ke Der 2 (LKD2), arahan Hans Isaac pada 28 September lalu terasa cukup berbaloi.
Apa tidaknya, barisan pelawak handalan Malaysia, Boboi (Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik, Nabil), Jozan (Johan, Zizan) dan Harith Iskander berjaya menggamatkan Panggung Sari.
Membuka tirai, ternyata fenomena Gangnam Style dari PSY turut mempengaruhi Nabil Ahmad untuk tampil dengan tarian kuda itu bersama penari IB. Seawal lagu dimainkan, penonton sudah pecah perut melihat gelagat Nabil.
Nabil yang menyertai Boboi berjaya menjalankan dua watak yang berbeza-pengacara majlis dan persembahan bersama Boboi sepanjang program berlangsung.
Seterusnya, Jozan menguasai pentas dengan sketsa komedi, yang membawakan kisah watak Nazmi (Johan) dan Nazman (Zizan), serta watak Nasmida (dilakonkan Johan dan Zizan), ia nyata segar dan berbeza daripada lawak mereka yang dipersembahkan menerusi LKD musim pertama.
Selepas persembahan Jozan, Boboi pula muncul dengan sketsa yang berlatar belakangkan lapangan terbang dan suasana di dalam kapal terbang.
Kemudian barulah persembahan daripada Harith pula dipersembahkan.
Secara keseluruhan, LKD2 yang mengambil durasi selama tiga jam ini tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan LKD musim pertama.
Jozan menyerlah
Seperti biasa, kemunculan Jozan tidak pernah mengecewakan dan paling penting mereka pasti menampilkan sesuatu yang baru dan mampu memikat hati penonton.
Malah, biarpun mengambil masa sehingga 40 minit untuk sketsa Nazmi, Nazman dan Nasmida, namun penonton tidak berasa bosan kerana mereka bijak memainkan peranan.
Lucunya, dek terlalu galak bercerita, ada ketikanya mereka seperti terlupa skrip tetapi masih bijak mengawal persembahan dan ada lawak yang lahir secara spontan membuatkan penonton tidak kering gusi melihat persembahan mereka.
Persembahan mereka turut diselitkan unsur muzikal, di mana beberapa lagu seperti Bawa Ku Pergi dan lagu tema Upin & Ipin, Sahabat dinyanyikan.
Di hujung persembahan, barulah penonton dapat melihat mesej sebenar sketsa ini yang mengetengahkan kepentingan persahabatan.
Gandingan menjadi
Mungkin bagi segelintir peminat Boboi yang sudah biasa melihat persembahan daripada Afdlin dan Harun, agak janggal menonton persembahan mereka apabila Nabil menyertai kumpulan itu.
Bagaimana pun, gandingan Afdlin, Harun dan Nabil sebenarnya satu idea menarik memandangkan berjaya memberi kelainan kepada Boboi.
Nabil wajar diberikan pujian kerana dapat menonjolkan keserasian bersama Afdlin dan Harun yang jauh lebih berpengalaman daripadanya.
Malah, jika diperhatikan, kehadiran Nabil sebagai pramugari menerusi sketsa Redha Airline yang ditampilkan menyerikan lagi persembahan itu.
Menariknya, setiap baris ayat yang terkeluar daripada mulut pelawak-pelawak ini membuatkan penonton ketawa terbahak-bahak.
Meski pun berjaya membuatkan penonton tergelak ketawa menerusi sketsa pertama, namun sketsa kedua Boboi dilihat kurang menyegat.
Hanya tampil dengan Afdlin dan Harun, sketsa kedua mereka yang mempersembahkan kisah hantu-hantu, agak bosan dan meleret.
Pun begitu, Boboi tetap mendapat tepukan gemuruh daripada penonton yang hadir.
Harith kurang menyengat
Seperti biasa Harith, akan menampilkan lawaknya menggunakan Bahasa Inggeris. Jika dibandingkan LKD musim pertama, lawaknya kali ini kurang menyengat.
Sama ada King Of Stand Comedy ini kekurangan idea, ia tidak dapat dirungkaikan.
Namun, ada sesetengah lawaknya masih dapat diterima penonton. Misalnya, apabila lawak mengenai kehidupan suami isteri diketengahkan, penonton mula ketawa tidak berhenti.
Bangga dengan barisan pelawak
Ditemui ketika sidang media selepas LKD2 berlangsung, Hans berkata, dia cukup berbangga dengan barisan pelawak malam itu.
“Walau pun masa yang dianggarkan hanya dua jam setengah meleret sehingga ke tiga jam, tetapi saya sangat berpuas hati dengan mereka.
“Saya yakin penonton juga begitu. Dalam persembahan secara live begini, banyak kesilapan boleh berlaku dan tidak dapat dielakkan.
“Apa pun, pihak kami dan pelawak yang ada sudah memberikan yang terbaik,” katanya.
Ditanya adakah perubahan yang dibuat selepas persembahan malam pertama, jelas Hans, sudah pasti pelbagai perkara yang dirasakan tidak penting akan dipotong untuk persembahan seterusnya.
“Barisan pelawak cukup bijak mengetahui di mana kesalahan mereka, jadi sudah pasti mereka akan membaiki kesalahan tersebut untuk mencantikkan lagi jalan cerita yang dibawa,” katanya memberitahu tiket bagi pementasan itu sudah dijual hampir keseluruhannya.