'Perang' pemilihan BAM bermula, motif surat layang kepada SPRM
presiden Kehormat Seumur Hidup, BAM Tan Sri Dr Mohammad Norza Zakaria (lima, kanan) dan Pemangku Presiden BAM Datuk V Subramaniam (lima, kiri) bergambar bersama pemain yang mewakili negara ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan jenama peralatan badminton terkenal di dunia YONEX hari ini. - Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
KUALA LUMPUR: Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk V Subramaniam tidak menolak kemungkinan pemilihan menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu menjadi motif surat layang dihantar kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang kini sedang menjalankan siasatan ke atas seorang pegawai tinggi badan induk itu. Subramaniam berkata beliau tidak terkejut dengan perkara berkenaan selain percaya ia boleh berlaku atas beberapa sebab. Bagaimanapun, Subramaniam yang mula memikul tugas selaku Pemangku Presiden BAM selepas Tan Sri Mohamad Norza Zakaria melepaskan jawatannya pada Ogos lalu meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan memberikan ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan. "Macam anda semua tahu, BAM ada keluarkan kenyataan ringkas semalam berhubung siasatan yang dijalankan dan itu sahaja. Kita kekal dengan (pendirian) itu dan beri SPRM buat siasatan sepatutnya
"Oleh itu, kita tunggu dan lihat sahaja apa keputusannya nanti, tidak ada apa-apa yang boleh diulas. Mungkin juga (disebabkan pemilihan AGM)," katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan antara BAM, Yonex dan Sunrise Sports Sdn Bhd di sini, hari ini. BAM dijangka mengadakan pemilihan pucuk pimpinan tertinggi badan itu bagi penggal 2025/2029 pada April atau Mei tahun depan. BH Sukan semalam melaporkan gara-gara surat layang, BAM kini disiasat oleh SPRM. Menurut sumber yang boleh dipercayai, surat layang yang dihantar kepada SPRM itu mendakwa terdapat unsur salah laku seorang pegawai tinggi BAM yang didakwa mengambil elaun tanpa kelulusan Ahli Majlis badan induk itu. Sumber itu juga tidak menolak kemungkinan dakwaan berkenaan sengaja ditimbulkan kerana faktor tidak puas hati dan dengki selain mahu mencemarkan reputasi BAM menjelang pemilihan tahun depan. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki semalam mengesahkan mereka menjalankan siasatan ke atas seorang pegawai tinggi BAM dan bukannya badan induk berkenaan. Dalam pada itu, Subramaniam gembira di atas lanjutan kerjasama antara BAM dan Yonex bagi tempoh dua tahun lagi sehingga 2028 selepas kontrak sedia ada bakal tamat pada 2026. "BAM berbesar hati untuk meneruskan kerjasama bersama Yonex. Pemain negara mendapat banyak manfaat selain mencipta kejayaan, termasuk memenangi gelaran juara dunia dalam acara beregu lelaki," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2024/12/1332715/perang-pemilihan-bam-bermula-motif-surat-layang-kepada-sprm
|