Menteri atau timbalan menteri tak terbabit proses penilaian U Mobile', tegas Fahmi
[size=14.399999618530273px]Fahmi Fadzil. - Foto BERNAMA
[size=14.399999618530273px]
[size=14.399999618530273px]
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menegaskan beliau dan timbalannya, Teo Nie Ching, tidak terbabit dalam proses penilaian U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) sebagai penerima Rangkaian 5G kedua Malaysia. Fahmi sebaliknya berkata, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meneliti penilaian itu secara bebas, berdasarkan tatakelola yang baik dan bukannya secara penganugerahan terus atau 'direct award'. Atas dasar itu, Fahmi berkata, keputusan untuk memilih U Mobile sebagai penyedia Rangkaian 5G kedua Malaysia adalah tidak bertentangan dengan syarat khas lesen bagi suatu lesen individu. "Berkenaan isu pegangan, pihak MCMC (melaksanakan) secara bebas... menteri atau timbalan menteri tidak terbabit dalam sebarang proses penilaian. "Kerajaan melalui MCMC sudah melaksanakan proses terperinci dari aspek teknikal dan komersial untuk memilih Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) yang akan melaksanakan Rangkaian 5G Kedua Malaysia. "Pemilihan ini dilaksanakan melalui proses 'beauty contest' atau dalam bahasa mudah, melalui proses tender, dan bukannya secara penganugerahan terus," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT), di Dewan Rakyat, hari ini.Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang meminta Menteri Komunikasi menyatakan alasan kerajaan Persekutuan memberikan lesen kepada U Mobile untuk melaksanakan rangkaian kedua 5G. Ia berikutan 48.28 peratus ekuiti syarikat itu dipegang olen syarikat asing dari Singapura iaitu Straits Mobile Investement Pte Ltd. Pada masa sama, Fahmi berkata, ketika ini, pegangan ekuiti asing di dalam U Mobile adalah masih di dalam lingkungan pematuhan syarat khas lesen yang dikeluarkan kepada syarikat itu. Beliau berkata, U Mobile juga memberi komitmen di dalam kenyataan media sebelum ini untuk mengurangkan pegangan asing kepada 20 peratus bagi memastikan kawalan yang lebih besar oleh rakyat Malaysia dan mengundang penyertaan daripada pelabur tempatan. "Keperluan am pegangan ekuiti asing bagi lesen individu Pemberi Kemudahan Rangkaian (NFP) dan lesen individu Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP) adalah maksimum 49 peratus manakala pegangan Bumiputera adalah sekurang-kurangnya 30 peratus. "Keperluan ini diperuntukkan melalui syarat khas lesen bagi suatu lesen individu. Oleh itu, keputusan utuk memilih U Mobile sebagai penyedia Rangkaian 5G Kedua Malaysia adalah tidak bertentangan dengan syarat khas lesen bagi suatu lesen individu," katanya. Beliau berkata, pemilihan syarikat pelaksana rangkaian 5G kedua dibuat berdasarkan gabungan beberapa faktor seperti rancangan perniagaan dan teknikal yang dikemukakan, rekod kadar aduan dan kepuasan pelanggan serta prestasi mereka dalam melaksanakan inisiatif infrastruktur lain. Katanya, ia termasuk faktor sumbangan kepada projek Penyediaan Perkhidmatan Sejagat (USP) seperti JENDELA Fasa 1 dan projek penaiktarafan 4G, yang selaras dengan komitmen MCMC untuk meningkatkan pengalaman pengguna dan kecemerlangan perkhidmatan.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/11/1320807/menteri-atau-timbalan-menteri-tak-terbabit-proses-penilaian-u-mobile
|