PUTRAJAYA – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan Panduan Belanjawanku 2024/2025 dan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA1) bagi membolehkan ahli menetapkan sasaran simpanan mengikut gaya hidup dan aspirasi persaraan berbeza.
KWSP dalam satu kenyataan berkata, rangka kerja itu juga menyediakan panduan komprehensif untuk perbelanjaan bulanan serta mengemas kini tahap simpanan disyorkan daripada penanda aras simpanan satu tahap kepada kerangka simpanan tiga tahap.
Menurutnya, inisiatif itu dibangunkan untuk menggalakkan keselamatan kewangan dan memastikan masa depan persaraan yang sejahtera bagi semua rakyat Malaysia.
“Bakal dilancarkan pada Januari 2026, Rangka Kerja RIA membolehkan ahli menetapkan sasaran simpanan mengikut gaya hidup dan aspirasi persaraan berbeza.
“Pendekatan itu menekankan kepentingan melihat simpanan KWSP sebagai sumber pendapatan berterusan selain membantu ahli memahami simpanan diperlukan untuk menyara diri di usia persaraan,” katanya hari ini.
Dalam konteks ini, Rangka Kerja RIA memperkenalkan kerangka simpanan tiga tahap iaitu Simpanan dan Pendapatan Asas di mana akan menampung keperluan persaraan yang penting.
Simpanan dan Pendapatan Mencukupi pula untuk mengekalkan taraf hidup yang munasabah semasa persaraan.
Selain itu, Simpanan dan Pendapatan Dipertingkat diperkenalkan untuk menyokong keselamatan dan kebebasan kewangan yang lebih tinggi untuk kualiti hidup yang lebih baik. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/12/12/kwsp-lancar-ria1-bantu-ahli-tetapkan-sasaran-simpanan-persaraan/