Syed Hussien angkat sumpah ADUN Mahkota
ADUN Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah, mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Ketiga DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar,hari ini. - FOTO BERNAMA
ISKANDAR PUTERI: Syed Hussien Syed Abdullah mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota yang baharu, pada Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Kota Iskandar di sini, hari ini. Syed Hussien, 40, mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, dan turut menandatangani surat sumpah jawatan. Syed Hussien dipilih sebagai ADUN Mahkota selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN berkenaan pada 28 September lalu dengan majoriti 20,648 undi.
ADUN Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah (duduk) menandatangani Surat Sumpah Jawatan di hadapan Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
Beliau menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar. Syed Hussien yang juga Ahli Majlis Perbandaran Kluang (MPK) menang dengan memperoleh 27,995 undi manakala Mohamad Haizan mendapat 7,347 undi. PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandang kerusi berkenaan, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu. Mohd Puad turut mengucapkan tahniah kepada Syed Hussein sambil berharap wakil rakyat baharu itu dapat menjalankan tugas dengan amanah dan bertanggungjawab.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1306007/syed-hussien-angkat-sumpah-adun-mahkota
|