Buang ego, pujuk isteri merajuk rahsia kebahagiaan rumah tangga - Yusof
[size=14.399999618530273px]
[size=14.399999618530273px]Yusof ikut petua ibunya supaya sentiasa menjaga hati isteri demi keharmonian rumah tangga. - Foto NSTP
[size=14.399999618530273px]
KUALA LUMPUR: Demi mempertahankan keharmonian rumah tangga, golongan suami dinasihatkan supaya sentiasa bertolak ansur, sabar dan kena pandai memujuk isteri yang sedang merajuk. Penerbit dan pengarah tersohor, Datuk Yusof Haslam berkata, suami perlu merendahkan ego supaya segala permasalahan yang berlaku dalam perkahwinan dapat diselesaikan dengan cara baik. "Bagi saya, rumah tangga ini perlukan kesabaran, tolak ansur, pujuk memujuk itu penting bagi saya. Sebagai lelaki, jangan anggap pujuk itu menandakan kalah, tidak. "Ada lelaki anggap bila pujuk isteri, bermakna kalah. Itu silap bagi saya. Saya bukanlah nak kata saya sempurna, tapi rumah tangga saya bertahan kerana sifat saya suka memujuk.
"Saya percaya takkan ada kesudahan jika kahwin dan bercerai. Ini adalah petua saya amalkan dan ia datang daripada ibu saya supaya sentiasa jaga hati isteri. "Kalau isteri merajuk, dia akan suruh saya pujuk sama seperti yang dilakukan arwah bapa. Memang arwah bapa saya kaki pujuk.
"Jika bergaduh, ayah saya akan cepat-cepat pujuk dan itulah yang saya amalkan, Alhamdulillah rumah tangga saya sudah 41 tahun. "Kita ada budaya pujuk memujuk dan suami kena mulakan dan mainkan peranan dengan baik. Buang ego kerana kalau berterusan dengan sikap itu, masalah takkan selesai dan tak akan dapat kecapi kebahagiaan," katanya ditemui pada majlis sidang media dan tayangan perdana filem Don Dukun yang diadakan di MidValley, di sini, malam tadi. Tambah pengarah yang mendapat jolokan 'Six Million Dollar Man' itu, untuk menambat kembali hati isteri, tak perlu dengan bunga atau hadiah.
Sebaliknya, kata Yusof, cukup sekadar dengan kata-kata indah yang mampu mencairkan hati isteri apabila mendengarnya. "Saya akan gunakan kata-kata manis dan bukannya dengan bunga. Saya tak reti nak bagi bunga atau hadiah. "Bagi saya, kata-kata dan perbuatan itulah yang lebih bermakna berbanding bunga. Kalau bagi bunga, tapi benda tetap berlaku, tak guna juga. "Isteri kenalah lembutkan hati kalau suami nak minta maaf. Wanita ini kadang-kadang buat salah, takkan mengaku. "Jadi, bagi saya kalau ada sikap toleransi, rumah tangga akan kekal. Kalau susah, biarlah sama-sama susah. Jangan masa suami senang atau isteri senang, baru nak berbaik. "Saya berkongsi perkara ini bukanlah nak cakap saya sempurna atau nak jadikan saya sebagai contoh. Ini sekadar nasihat sebagai orang tua yang sudah 41 tahun melalui proses perkahwinan," ungkapnya. Sementara itu, mengulas tanggapan perceraian adalah lumrah dalam kehidupan selebriti, bapa kepada pengarah Syamsul Yusof dan Syafiq Yusof itu menyangkal dakwaan disifatkan tidak berasas itu. "Bukan kata artis sahaja, di luar sana boleh dikatakan hampir setiap hari ada kes cerai. Tapi mungkin sebab mereka artis membuatkan ramai bercakap dan ambil tahu. "Cuma agak mengejutkan saya juga tahun ini kerana berturut-turut artis bercerai. Contohnya, berita Diana Danielle. Saya terperanjat dan pada masa sama, sedih juga. "Masa dengan cerita mereka kembali rujuk sebelum ini, saya sangat gembira. Isteri pun gembira kerana melihat Farid Kamil rajin pujuk. "Kita pun tak tahu apa yang berlaku pada rumah tangga mereka kerana hanya pandang secara rambang," katanya lagi. Terdahulu, industri hiburan digemparkan dengan kisah keruntuhan rumah tangga artis secara berturut-turut. Antara pasangan yang mengumumkan perceraian adalah Nora Danish dan Nedim Nazri, Fattah Amin dan Nur Fazura, Datuk Fazley Yaakob dan Azrene Soraya Ahmad, manakala Diana turut membuat kejutan apabila mengumumkan nekad mahu bercerai kali kedua.
https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2024/10/1317688/buang-ego-pujuk-isteri-merajuk-rahsia-kebahagiaan-rumah-tangga
|