Air pasang besar: 'Kalau hujan, sejarah 30 tahun akan berulang' - Penduduk
Sebahagian rumah penduduk di Taman Nira, Batu Pahat ditenggelami air susulan fenomena air pasang besar. - Foto NSTP/Alias Abd Rani
BATU PAHAT: "Kami perlu waspada dan berharap tidak hujan. Jika tidak, lagi parah dan sejarah 30 tahun lalu akan berulang," kata Mahmud Ibrahim, 77, susulan fenomena air pasang besar yang melanda beberapa kawasan di daerah ini. Warga emas yang menetap di Taman Nira di sini berkata kediamannya sering dinaiki air setiap kali fenomena itu berlaku menyebabkan dia terpaksa mengalihkan barang ke tempat lebih tinggi. "Kami kena berjaga-jaga, kalau hujan lagi teruk, air akan masuk dalam rumah. Kalau hujan, benteng dibina depan dan belakang rumah pun tak boleh nak halang air. "Buat masa ini, saya menyelamatkan dulu mana-mana barang runcit dan juga perkakas dalam rumah kerana esok lagi besar," katanya ketika ditemui.
Dalam pada itu, Mahmud juga meletakkan tong plastik di hadapan pintu utama untuk mengelak gelombang air memasuki dalam rumah yang turut dijadikan kedai runcit.
"Kalau tak letak benda ini (tong plastik), ari mencurah-curah masuk. Sekarang ini kebanyakan penduduk sudah buat benteng di rumah masing-masing," katanya.
Seorang lagi penduduk, Faizal Abd Hamid, 38, berkata dia sekeluarga juga bersedia dengan keadaan seperti ini yang mana kerap berlaku setiap tahun.
Dia mengambil langkah waspada memandangkan fenomena ini akan berlaku selama empat hari bermula hari ini.
"Esok air lagi tinggi. Jadi kita kena waspada, ini memang berlaku setiap tahun air pasang tinggi. Kita kena lalui juga.
"Tapi, Alhamdulillah tahun ini fenomena air pasang berlaku siang, kalau malam memang kami berdepan risiko," katanya yang menetap di taman itu sejak kecil.
Sementara itu, tinjauan mendapati beberapa kawasan mula dinaiki air sejak 10 pagi antaranya Jalan Shahbandar, Taman Pantai, Jalan Bakau Chondong, Sungai Ayam serta Minyak Beku. Kawasan paling terjejas ialah di Taman Nira dengan kira-kira 50 buah rumah dinaiki air susulan limpahan Sungai Batu Pahat yang terletak di belakang taman terbabit. Bacaan paras air laut pada pagi tadi ialah 3.2 meter yang menyebabkan berlaku limpahan air ke beberapa kawasan rendah.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1312481/air-pasang-besar-kalau-hujan-sejarah-30-tahun-akan-berulang-penduduk
|