|
Saluran air mata
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
[email protected]
CERIA: Izelan (tengah) bersama sebahagian selebriti yang hadir pada majlis Raikan Ramadan Bersama Astro Oasis.
Astro Oasis sedia program menarik sepanjang Ramadan
TIDAK sedikit pun disangka, kewujudan saluran yang memberikan perhatian kepada rancangan berbentuk kerohanian dan keagamaan menarik perhatian begitu ramai penonton mengikutinya.
Lalu, apabila rancangan demi rancangan yang disiarkan Astro Oasis membuka mata masyarakat, pihak produksi saluran terbabit diingatkan untuk terus menerbitkan rancangan yang bukan saja membawa kelainan tetapi mampu memenuhi selera penonton semasa.
Apatah lagi apabila rancangan terbitan saluran itu kini bukan hanya menarik perhatian penonton tempatan, bahkan penonton di Indonesia juga dikatakan menggemari beberapa rancangan terbitan Oasis seperti Rasa Halal Orient, Trek Global dan Ziarah.
Kata Pengurus Saluran berkenaan, Izelan Basar, penerimaan penonton terhadap rancangan siaran saluran berkenaan cukup mengejutkan, pada ketika yang sama, amat mengagumkan.
"Rupa-rupanya, semakin moden dunia kita hari ini, semakin ramai penonton yang menginginkan rancangan berbentuk kerohanian dan keagamaan. Saya menganggap kehadiran Oasis umpama orang yang haus diberikan air. Lebih-lebih lagi, Oasis itu sendiri ialah lembah yang subur di padang pasir," katanya.
BARU DAN LAMA: Dua pelakon drama Taubat, Razak Ahmad dan Erynne Erynna.
Menurut Izelan lagi, justeru sambutan hebat yang diterima, pihaknya juga tidak boleh mengeluarkan program yang sekadar melepaskan batuk di tangga.
"Jika diperhatikan, rancangan di saluran ini amat berbeza dan berbentuk terkini. Kami sedar, orang ramai membayar sejumlah wang untuk menonton siaran kami. Jadi, menjadi tanggungjawab Oasis untuk menghidangkan program terbaik.
"Pada masa yang sama, kita juga tidak harus menyempitkan minda ketika menerbitkan sesebuah program. Bayangkan di dunia ini wujud berbilion umat Islam di seluruh dunia. Ia sebuah pasaran yang cukup besar. Lalu, kita mensasarkan setiap program yang disiarkan Oasis mampu juga diterima masyarakat Islam luar negara.
"Begitu juga kami cuba menjadi pengeluar kepada program agama yang dihormati lagi berkualiti. Bukan apa, sehingga kini, rancangan Islam yang terbaik datangnya daripada televisyen British, Jerman dan Korea. Tibalah masanya program berunsurkan Islam dikeluarkan oleh negara Islam juga," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Raikan Ramadan Bersama Astro Oasis di Palace of Golden Horses, Seri Kembangan, baru-baru ini.
Ketika ini, Oasis dikatakan muncul saluran nombor satu dari segi rancangan berbentuk keagamaan. Sebanyak 70 peratus daripada penontonnya pula adalah daripada golongan wanita.
"Antara matlamat saluran ini ialah menerbitkan program yang menyentuh hati penontonnya. Berikutan pengisian kami lebih kepada program berbentuk pengisian kerohanian dan keinsafan, maka ada banyak pihak yang menggelarkan Oasis saluran air mata. Tidak kisahlah apa gelarannya, asalkan pengisian kita memberikan pengajaran buat semua," ujar Izelan yang turut berazam memasarkan program Cafe Akil Hayy ke Indonesia.
Namun begitu, bagi tempoh tiga tahun pertama, Izelan menegaskan kebanyakan program yang diterbitkan saluran itu adalah berbentuk 憆ukun |
|