"Sebenarnya, tujuan pertama kami mahukan silaturahim. Kami beri tawaran sebenarnya nak bersilaturahim sebagaimana kami tawarkan kepada artis lain.
"Kami nak berkumpul sebagai keluarga, duduk dan datang sidang media, buat promosi dan sebagainya. Itu adalah hukum dalam silaturahim," katanya dalam sidang media Konsert Rock Warrior Festival di Ruang PJ, Menara PKNS, di sini, semalam.
Awie berkata, penganjuran RWMF untuk membantu rakan dalam industri muzik termasuklah JoBranko dan kumpulannya.
"Kalau tak boleh nak bertolak ansur dan tiada toleransi, jadi dia menolak hukum silaturahim. Tak apalah.
"Dalam masa sama, kami juga berniaga. Kami mesti cari sesuatu benda yang boleh mendatangkan keuntungan, dapat hasil dan membayar semua artis-artis ternama yang ada di sini.
"Jadi, itulah yang kami lakukan untuk bersilaturahim dan dalam masa sama, buat persembahan serta berniaga," katanya.
Terdahulu, krisis dalaman yang berlaku antara Awie dan JoBranko menyaksikan pemain gitar itu tidak lagi bersama Wings sejak Ogos 2016.
Krisis tercetus berikutan dakwaan mengatakan JoBranko adalah punca Wings terpaksa membatalkan Konsert 30 Tahun Wings yang sepatutnya berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 24 Disember 2016.
Difahamkan, permasalahan turut berpunca daripada orang ketiga hingga ia merebak menjadi lebih serius.
JoBranko kemudian menubuhkan kumpulan Prime Domestic, namun tidak bertahan lama dan kini menubuhkan Barbarik yang dianggotai Muss (penyanyi), Rozaimie (bes) dan Ainol (dram).
Sementara itu, edisi sulung RWMF membuka tirai dengan menampilkan barisan artis rock terkemuka tanah air seperti Wings, Search (Kid & Din) dan XPDC pada 23 November.
Manakala MAY, Spider, Pop Shuvit dan A.C.A.B. pula akan beraksi pada 24 Novermber. Turut ditampilkan ialah band baharu di pentas Stage Rock Hero.
Sementara itu, Eddy menjelaskan, mereka bukan menolak terus Barbarik dan tidak menolak kemungkinan akan mengambil mereka pada masa akan datang apabila kedudukan kewangan stabil.
https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2024/10/1305306/awie-dakwa-jobranko-tolak-silaturahim-letak-harga-tinggi