Rombongan ABPBH bersama guru dan pelajar SMK Tun Tuah.
Johan, Hafiz dan Hazama memasang jubin di lantai Surau Al Hidayah sambil di perhatikan Mior Kamarul Shahid (kanan).
Siapa sangka aktiviti CSR sebegini boleh meninggalkan coretan kenangan untuk barisan artis serta mereka yang terbabit menjayakannya. Tidak dinafikan setiap pelajar begitu teruja dengan kehadiran finalis ABPBH tahun ini seperti Johan, Hazama, Hafiz, Emma Maembong, Jihan Raja Lawak, Hanez Suraya dan Didie Alias.
Bersama-sama mereka memasang mozek di Surau Al-Hidayah dan menanam pokok di sekitar sekolah berkenaan. Barisan calon akhir ABPBH pula tidak kekok membantu, malah mereka turut bermandi peluh di bawah sinaran panas terik mentari petang itu.
Sebelum itu, ketika tiba di Ayer Keroh kira-kira jam 3 petang, barisan penganjur dan artis dihiburkan dengan persembahan nasyid dan sesi ramah mesra. Sebaik saja menjejakkan kaki ke sekolah itu pula, rombongan ABPBH 2012 disambut dengan meriah berserta taburan bunga rampai dan iringan paluan kompang.
Menurut Penolong Kanan Pentadbiran SMK Tun Tuah, Norsiah Abdul Rahman, mereka tidak menyangka sekolah berkenaan menjadi pilihan artis popular untuk beramal.
Seronok sekolah jadi pilihan artis popular
“Aktiviti ini menjadi perbualan hangat di laman sesawang Facebook sekolah kami sejak dua minggu lalu. Kami tentunya berasa amat bersyukur apabila hari yang dinanti-nanti oleh pelajar dan penduduk sekeliling tiba juga. Paling tidak, kami dapat melihat dengan lebih dekat artis kegemaran ramai ini," katanya.
Barisan artis yang hadir juga turut menghiburkan pelajar dan guru dengan celoteh serta nyanyian ringkas. Bersama-sama, artis yang ada menyanyikan lagu Kau Ilhamku, nyanyian asal oleh Man Bai, dan Ombak Rindu.
Malah, Johan dan Emma yang kelihatan pemalu turut diminta menyanyi bersama yang lain. Dan, paling menggelikan hati apabila Hazama menyampaikan lagu Ombak Rindu dalam versi Ramli Sarip. Mereka yang hadir seronok melihat gelagat bekas pelajar Akademi Fantasia itu.
Bukan saja dapat menyaksikan hiburan di depan mata, malah pelajar juga berkesempatan merakamkan gambar bersama artis kegemaran masing-masing. Maklum saja, peluang sebegitu tidak selalu menjelma. Jadi, kesempatan berharga itu pastinya enggan dilepaskan begitu saja.
Program CSR ini dianjurkan bersama Suara Komuniti BH dan turut dihadiri Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mior Kamarul Shahid; Pengedar R A Talang Enterprise, Shell Service Station, Ridzuan Ahmad; dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH 2012 yang juga Pengarang Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir.
Along hadiahkan rumah untuk bapa
Sementara itu, pada sebelah malam pula, rombongan bertandang ke rumah bapa Along Cham di Ehsan Heights, Johor Bahru, untuk menjamu selera.
Hazama dan Johan menikmati hidangan di rumah bapa Along.
Meriah dengan hilai tawa dan gelagat masing-masing, acara santai ini dijadikan tempat untuk selebriti melepaskan penat-lelah sesama mereka, dengan bergurau-senda, selepas seharian perjalanan.
Malah lebih menarik lagi apabila jemputan ini diadakan bersempena dengan pemberian rumah baru daripada Along kepada bapanya, Ahmad Zakaria, 57.
Baru sebulan berpindah dari rumah lama di Johor Jaya, Ahmad begitu ceria melayan setiap tetamu yang hadir ke rumah barunya itu.
Dalam tidak sedar, acara sebegini sebenarnya mengeratkan lagi hubungan antara satu dengan yang lain.
Shaheizy Sam yang tidak terbabit pada aktiviti sebelah siang juga singgah sebentar ke rumah Along untuk menjamu selera dan menemui rakan yang lain.
Coret-Coret:
- Ketika dalam perjalanan ke Ayer Keroh, Melaka, Hafiz dan Hazama menghiburkan ahli rombongan ABPBH dengan nyanyian karaoke yang menggelikan hati. Hazama gemar meniru nyanyian Papa Rock yang terkenal dengan suara garaunya, sehingga membuatkan yang lain ketawa tanpa henti.
- Makan tengah hari ditaja Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, di Restoran Botanikal, Ayer Keroh, Melaka.
- Ahli rombongan disajikan dengan hidangan nasi berlauk dan laksa Johor serta pelbagai kuih tradisional Melayu. Barisan artis kelihatan begitu berselera menjamu hidangan disebabkan penat seharian dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor.
- Ketika berehat sebentar di hentian R&R, Didie Alias didatangi peminat lelaki berbadan tegap, yang seakan-akan mahu bergaduh. Walaupun kelihatan kasar, peminat itu sebenarnya hanya mahu bergambar kenangan dengan Didie.