Banjir landa Melaka, tiga PPS dibuka
JASIN: Sekurang-kurangnya 16 kediaman penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, Serkam dan Merlimau dilanda banjir kilat susulan hujan lebat awal pagi tadi. Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka, Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim, berkata setakat jam 8 pagi ini, pihaknya masih mengenal pasti jumlah sebenar mangsa yang terjejas. Menurutnya, hujan lebat sekitar jam 1.30 pagi menyebabkan paras Sungai Merlimau di Kampung Kilang Berapi dan Sungai Lubuk Buaya meningkat mendadak dan melimpah ke kawasan perumahan yang rendah. "Daripada 16 rumah yang terjejas, 10 adalah di Kampung Kilang Berapi dan Lubuk Buaya di DUN Merlimau serta Serkam. "Anggota Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) giat mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam rumah. "Tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Sekolah Menengah Dang Anum dan di Sekolah Kebangsaan Tedong dan Serkam Darat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Kamarulsyah berkata, hujan lebat berterusan lebih empat jam turut menyebabkan kediaman penduduk di Kampung Paya Redan di DUN Ayer Molek dinaiki air. "Setakat ini enam rumah membabitkan enam keluarga terkandas, namun tiada PPS dibuka," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1310445/banjir-landa-melaka-tiga-pps-dibuka
|