Edited by qqOfficial at 30-6-2016 05:25 PM
Empat Penyampai Baharu Bakal Beri Suntikan Segar Suria FM
Stesen radio Suria FM pada Khamis memperkenalkan empat wajah baharu barisan penyampainya bagi menggantikan Adibah Noor, Baki Zainal dan Linda Onn yang diharap mampu memberi suntikan segar kepada stesen itu.
Empat deejay baharu itu ialah pelakon dan pengacara, Zulin Aziz, Muhd Hafizudin Alimudin atau Fizi, Suraya Borhan dan Tuah Zoqarnain Idris atau Tyzo.
Pengurus Besar Program Suria FM, Subarma Moktaruddin atau Subi berkata, Zulin dan Fizi akan bergandingan bersama Halim Othman mengendalikan segmen Ceria Pagi Suria yang ke udara setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 5 pagi hingga 10 pagi.
Manakala Tyzo yang juga bekas deejay Suria FM akan digandingkan dengan Suraya menerusi slot Ceria Petang di Suria yang sebelum ini dikendalikan oleh Linda Onn.
Barisan penyampai baharu dan lama Suria FM bersama Pengerusi Kumpulan Radio Star, Datuk Dr Aminuddin Mohd Rouse (lima dari kiri) dan Pengurus Besar Program Suria FM, Subarma Mokhtaruddin (lima dari kanan). Untuk rekod, Fizi sebelum ini pernah berkhidmat bersama stesen radio Ultra FM manakala Suraya pula dari stesen radio Hot FM.
Tyzo pula sebelum ini pernah berkhidmat di Suria FM dari tahun 2007 hingga 2013 mengendalikan segmen Malam Suria dan terkenal menerusi tagline MJ (Manja-Manja Je) dikalangan peminatnya.
"Keempat-empat wajah baharu ini kami pilih bukan sahaja berdasarkan bakat yang ada pada mereka tetapi pengalaman luas dalam bidang radio seperti Tyzo, Suraya dan Fizi.
"Manakala Zulin pula kami pilih selepas melihat potensinya sebagai penyampai radio selain dia menunjukkan minat mendalam dalam bidang ini," ujarnya.
Dalam pada itu, Subi berkata, pemilihan empat wajah baharu itu diyakini dapat meneruskan empayar Suria FM ke tahap lebih tinggi pada masa hadapan.
Dari kiri; Halim Othman, Zulin Aziz dan Fizi bakal mengendalikan segmen Ceria Pagi Suria. Malah kata Subi, pihaknya telah merangka pelbagai perancangan bagi memastikan kedudukan Suria FM akan terus bertahan selain menjadi pilihan pendengar.
"Suria FM optimis dan berazam untuk membawa stesen ini ke tahap lebih tinggi dan penampilan empat wajah baharu ini dengan gabungan penyampai lama seperti Halim, Bob dan DJ Lin yang mampu menguatkan lagi jenama kami.
"Kita mahu melangkah ke hadapan dengan pelbagai strategi yang dan pengenalan empat penyampai ini adalah permulaan ke arah itu yang akan menjadikan Suria FM lebih segar dan ceria," jelasnya.
Sementara itu, Subi berkata, keputusan menggandingkan Zulin, Fizi dan Halim menerusi segmen Ceria Pagi Suria dilihat bertepatan kerana ia mampu menarik pendengar daripada pelbagai peringkat umur.
Malah pihaknya yakin dengan kemampuan Zulin dan Fizi mengendalikan segmen tersebut walaupun mereka masih baharu.
"Halim kita kekalkan kerana ingin memasukkan elemen seorang juruhebah manakala Zulin dan Fizi pula tampil dengan cara berbeza yang diyakini dapat menarik perhatian golongan pendengar daripada pelbagai peringkat umur.
"Zulin masih baharu tetapi dia mempunyai bakat yang cukup besar jadi Insya-Allah dia mampu melakukannya," katanya.
Kesemua penyampai baharu ini akan memulakan tugas mereka secara rasmi bermula Jumaat.
|