Hubungan kami tak okey - Sara Ali Oleh Zaidi Mohamad
KUALA LUMPUR: Keakraban Sara Ali dan Nur Fazura Sharifuddin atau Fazura sebelum ini memang diketahui ramai. Masing-masing sering berkongsi gambar di laman Instagram sebagai contohnya.
Malah, Sara dianggap The Next Fazura.
Hubungan mereka seperti adik dan kakak.
Namun beberapa bulan kebelakangan ini apabila perkara yang sering mereka lakukan tidak lagi kelihatan, mula ramai yang beranggapan kedua-duanya sudah tidak akrab seperti dulu. .
Sara Ali sebelum ini dilihat agak berlapik mengaburi kisah yang bagaikan ada sesuatu yang tak kena dengan mereka. Bamun, selepas sekian lama kisah kedinginan hubungan mereka bagai dilupakan, baru-baru ini ia kembali hangat.
Pendedahan episod kedua Facing Up To Fazura terbitan E! Asia (Astro 712) Ahad lalu mengenai konflik mereka mula kelihatan. Di saat orang sudah melupakan atau mungkin tidak mengetahui apa yang terjadi, kisah kerenggangan hubungan mereka mula diketahui.
Ikuti apa kata Sara Ali kepada BH Online.
“Dia (Fazura) macam nak isytihar perang dengan saya dan pada masa yang sama nak nampak baik. Bagi saya apa yang dia cuba bangkitkan semula ini hal remeh. Apa-apa soalan berkaitan saya patut diajukan kepadanya. Itu lebih afdal.
“Bagi saya kalau orang tanya hubungan kami okey atau tidak, jawapan saya tidak okey. Dan saya tak berhasrat nak okey balik dengannya. Saya tak pernah menyesal dengan apa yang dibuat atau dipilih. Begitu juga perkenalan dengannya yang pernah terjadi.
“Bagi saya semua itu pengalaman yang mematangkan hidup. Ia bukan penyesalan. Saya lebih suka melihatnya sebagai sudut memori indah atau sebaliknya. Selama ini pun saya hanya berdiam diri dan tak mahu memperbesarkan perkara ini,” katanya yang kini sedang terbabit dalam pementasan teater kompilasi Namron Volume 2, Mat Derih Kola Perlih dipentaskan di Damansara Performing Arts Centre sejak 24 hingga 28 Disember ini.
Menurut pelakon drama Maaf Jika Aku Tak Sempurna itu lagi, beliau pada satu tahap terlalu menyampah dengan apa yang berbangkit ini. Baginya keputusan untuk tidak terbabit dalam program berkenaan adalah haknya dan tidak perlu dipaksa.
“Dia yang besarkan isu ini dan apa saja terjadi antaranya dengan saluran berkenaan, tu masalah mereka. Memang asalnya saya setuju untuk berjumpa dengan dia tapi selepas dapat tahu ada perkara yang saya tak suka... maka saya ubah fikiran.
“Bagi saya hanya kerana program ini, saya simpulkan publisiti baik atau buruk, saya terima. Saya tak rugi apa-apa. Tak fasal satu Malaysia kenal saya yang tak popular ini. Saya tak rasa malu pun, dia yang patut sedar. Lepas ini saya nak tutup isu ini dan tak perlu dipanjangkan,” katanya.
Sara membintangi teater Mat Derih Kola Perlih di sisi Pekin Ibrahim dan Nam Ron. Tiket dijual pada harga RM55 dan RM40. Berminat boleh layari Instagram:@ayaqhangatstudio Sara Ali dan Fazura (kanan). - Foto NSTP
Last edited by Santeira on 25-12-2014 11:33 AM
|