Tikam 20 kali hingga mati, penganggur didakwa bunuh pereka dalaman
PETALING JAYA: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang pereka dalaman dengan menikamnya sebanyak 20 kali di sebuah unit pangsapuri di Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara, pada bulan lalu. Tertuduh, Lim Wah Siong, 50, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha. Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kesalahan itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Lelaki itu didakwa membunuh Muhammad Sharqawi Abu Bakar, 36, di sebuah unit pangsapuri di Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara di sini pada jam 9 malam, 14 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh digantung sampai mati. Mahkamah menetapkan 8 November ini untuk sebutan kes bagi laporan kimia dan bedah siasat. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurain Syafiqeen Mohd Rozi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Sebelum ini, media melaporkan mangsa ditemukan meninggal dunia di sebuah unit pangsapuri di Bandar Sri Damansara dengan 20 kesan tikaman di seluruh badan termasuk tangan dan kepala. Siasatan polis mendapati kejadian itu berpunca apabila mangsa menyedari suspek memecah masuk rumahnya untuk mencuri sebelum berlaku pergelutan yang membawa kepada pembunuhan. Susulan itu, polis menahan suspek dalam serbuan di sebuah pangsapuri di ibu kota pada jam 3 pagi, 21 September lalu kerana disyaki terbabit dalam kejadian itu. -– BERNAMA
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1305600/tikam-20-kali-hingga-mati-penganggur-didakwa-bunuh-pereka-dalaman
|