Aaron-Wooi Yik mahu buat 'makan besar'
Pengarah Pemasaran F&N Beverages Maketing Sdn Bhd, Leong Wai Yin (empat dari kiri) menyampaikan insentif kepada Duta 100PLUS, Aaron Chia, Soh Wooi Yik dan Lee Zii Jia sempena penghargaan memenangi pingat gangsa Olimpik Paris 2024. - FOTO NSTP/HAZREEN MOHAMAD
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia terus menerima durian runtuh hasil pencapaian mereka memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024, Ogos lalu. Terbaru, syarikat minuman isotonik terkemuka 100PLUS tampil menghargai usaha ketiga-tiga pemain itu yang juga duta jenama berkenaan apabila memberikan insentif sebanyak RM150,000 kepada Aaron-Wooi Yik manakala Zii Jia menerima RM100,000. "Aaron-Wooi Yik dan Zii Jia menggalas harapan negara di Paris. Harapan yang diletakkan di atas bahu mereka cukup tinggi tetapi mereka berjaya mengatasi tekanan dan memenangi pingat gangsa. "Ia tidak mudah beraksi di Olimpik. Ketiga-tiga pemain ini mempamerkan semangat juang tinggi untuk mencapai kejayaan," kata Pengarah Pemasaran F&N Baverrages Marketing Sdn Bhd, Leong Wai Yin ketika ditemui dalam satu majlis penyerahan insentif di sini, hari ini.
Sementara itu, Woo Yik mengakui terkejut dengan jumlah insentif yang diberikan 100PLUS yang menyaksikan kenaikan lebih dua kali ganda berbanding RM60,000 ketika mereka meraih gangsa di Olimpik Tokyo 2020. Wooi Yik berkata dia dan Aaron merancang untuk membelanjakan sebahagian insentif berkenaan untuk mengadakan 'makan besar' bersama keluarga, jurulatih, rakan sepasukan yang selama ini sentiasa menyokong perjalanan kerjaya mereka. "Kami mahu menghargai semua yang sentiasa menyokong kami dan berterima kasih kepada mereka," kata Wooi Yik. Sebelum ini, Aaron-Wooi Yik turut menerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) yang menyaksikan mereka meraih RM100,000 setiap seorang manakala Zii Jia menerima RM100,000. Ketiga-tiga pemain itu turut dihadiahkan sebuah kereta utiliti sukan (SUV) model dari Chery Malaysia.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2024/10/1306044/aaron-wooi-yik-mahu-buat-makan-besar
|