Azam akan jumpa KP Imigresen, cadang tindakan tatatertib kes 'counter setting'
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki (dua kanan) ketika ditemubual pada program Malaysia Hari Ini (MHI) terbitan stesen televisyen TV3 di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, hari ini. - Foto NSTP/Aiman Hariz Azhar
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bertemu dengan Ketua Pengarah (KP) Imigresen berhubung cadangan tindakan tatatertib terhadap kakitangan jabatan itu yang terbabit dengan kegiatan 'counter setting'. Mengesahkan perkara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata beliau sendiri akan bertemu dengan Datuk Zakaria Shaaban yang menyandang jawatan itu sejak 17 September lalu. Katanya, setakat ini pihaknya sudah menahan 50 suspek berkaitan siasatan kes berkenaan dan kemungkinan mereka akan didakwa bulan depan. "Kita nak mendakwa (suspek ditahan) tetapi saya jangkalah mungkin dalam bulan 10 ini. Saya nak tengok adalah (siasatan) kita telah disiap dan cuma kita kena bawa kepada pendakwa raya untuk keputusan mereka.
"Jadi kita akan cadangkan beberapa pertuduhan terhadap mereka. Tidak kurang juga di mana kes-kes yang dilihat boleh dibawa kepada Jabatan Imigresen untuk dicadangkan tindakan tatatertib, akan dibuat kerana ramai kita tangkap iaitu 50 orang. "Saya ingin kongsikan, bahawa saya akan berjumpa dengan Ketua Pengarah Imigresen yang baharu di mana kita ada lagi maklumat-maklumat yang saya rasa boleh dikongsi dengan pihak beliau untuk diambil tindakan dalaman Unit Integriti," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi tetamu pada program Malaysia Hari Ini (MHI) terbitan stesen televisyen TV3 di Sri Pentas, Bandar Utama di sini, hari ini. Mengulas lanjut, Azam berkata beliau akan berbincang dengan Zakaria mengenai isu yang berlaku di Terminal 1 dan 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan lebih lanjut berkaitan isu counter setting. Sebelum ini, SPRM menyenaraikan 11 masalah dan kelemahan utama membabitkan Jabatan Imigresen sehingga membuka ruang kepada sindiket membawa masuk warga asing menggunakan modus operandi counter setting. Azam dilaporkan berkata, punca utama berlakunya masalah itu disebabkan kelonggaran dalam aspek kawalan dalaman ketika bertugas yang menyebabkan pegawai Imigresen mudah didekati ejen sindiket. Katanya, kelemahan lain ialah pusingan tempat kerja bagi pegawai Imigresen yang bertugas di Terminal 1 dan 2 KLIA tidak sistematik. Ketika ditanya sama ada berlaku isu counter setting di lapangan terbang lain selain KLIA Terminal 1 dan 2, Azam berkata perkara itu masih dalam siasatan. "Sebenarnya kes ini (counter setting) berlaku di kedua-dua terminal KLIA. Jadi ini kes yang kita siasat. Pemantauan sedang dibuat secara berterusan oleh pegawai-pegawai saya baik di Terminal 1 dan 2 KLIA. "Di lapangan terbang lain belum lagi, tetapi yang besar dan kita bincangkan adalah di dua lapangan terbabit," katanya. SPRM sebelum ini membongkar kegiatan sindiket membawa masuk warga asing termasuk dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan, dan Nepal, melalui pintu masuk negara tanpa pemeriksaan pihak berkuasa. Sindiket berkenaan disyaki didalangi beberapa penguat kuasa sebuah agensi yang bertugas di pintu masuk negara, dengan menjadi tali barut bagi melepaskan kumpulan warga asing tiba tanpa memenuhi prosedur ditetapkan, menerusi modus operandi counter setting. Kegiatan sindiket itu terbongkar selepas SPRM menahan 12 individu termasuk sembilan lelaki berusia lingkungan 20 hingga 50an di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan pada bulan lalu. Seramai 49 penguat kuasa imigresen dan seorang anggota polis turut ditahan SPRM kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket yang membawa masuk warga asing menggunakan modus operandi 'counter setting' di lapangan terbang KLIA. Selain itu, SPRM turut menahan seorang pengarah syarikat warga Bangladesh kerana disyaki dalang sindiket berkenaan.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1304873/azam-akan-jumpa-kp-imigresen-cadang-tindakan-tatatertib-kes-counter
|