"Sunnatullah alam harus digarap tatkala kitaran hujan dari langit menjadi prasyarat penting yang menyuburkan tanaman dan memberikan banyak manfaat kepada manusia.
"Semuanya diciptakan Allah SWT agar manusia memerhati, merenung, mempelajari, mengolah dan menguruskannya dengan penuh amanah. Tanpa ketinggian ilmu, hikmah dan usaha terancang, kita tidak akan mampu meraih manfaat daripada bumi bertuah ini".
Maka, tegas Perdana Menteri, kita harus mentadabbur pedoman agung Qurani yang penuh berhikmah, disulami perintah syukur atas rezeki yang dikurniakan Allah SWT.
"Al-Quran menegaskan betapa pentingnya mewujudkan ekosistem yang mantap dan lestari serta urus tadbir yang cekap bagi menguruskan kekayaan sumber alam secara adil dan saksama," katanya.
Anwar juga memetik kata-kata Aristotle; Etika Nicomachus, Buku IV: "The virtue of wealth is not to have it but to use it rightly", bermaksud "Kebaikan kekayaan bukanlah untuk memilikinya, tetapi untuk menggunakannya dengan betul".
Sebelum membentangkan Belanjawan MADANI Ketiga 2025, Perdana Menteri menyatakan penghargaan setingginya kepada semua Ahli Parlimen atas sokongan padu bersejarah yang dicapai semalam dalam isu kewarganegaraan.
"Ia memberikan beberapa implikasi positif lagi bermakna. Pertama, ia bukti permuafakatan yang kukuh antara Ahli-ahli Yang Berhormat. Kedua, pengiktirafan kepada ibu dan hak kanak-kanak," katanya.
Semalam, semalam tujuh bulan dibentang bagi bacaan kali pertama, Dewan Rakyat menempa sejarah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 membabitkan kewarganegaraan.
Pindaan itu penting susulan pelbagai isu membabitkan pemohon yang mahu mendaftar kewarganegaraan terpaksa menunggu lama, malah ada yang sehingga puluhan tahun berikutan halangan dan kekangan beberapa peruntukan di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan sedia ada.
RUU diluluskan itu juga merungkai pelbagai persoalan berbangkit berkaitan kewarganegaraan, khususnya status anak yang dilahirkan di luar negara dalam keadaan ibunya adalah warga Malaysia tetapi bersuamikan warga asing.
Ia diluluskan dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga ahli Dewan selepas proses penggulungan bahas selesai dilakukan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Kelulusan RUU pindaan itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas diadakan undian belah bahagian, dengan 206 Ahli Parlimen setuju, seorang tidak setuju, 14 tidak hadir, sementara seorang lagi tidak hadir kerana digantung.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1312634/pm-mulakan-pembentangan-belanjawan-2025-dengan-ungkap-ayat-suci