PENGARAH Azma Aizal Yusoof yang namanya dikaitkan sebagai pengarah drama yang memukul pelakon Ika Nabella Abd Rahim, mengatakan hanya akan beri komen setelah selesai siasatan pihak polis.
“Saya tengah bersiap menunggu runner untuk ke set… semalam seharian saya berada di balai polis memberikan keterangan.
“Buat masa ini saya tak dapat beri sebarang kenyataan. Pihak polis kata tunggu selesai siasatan baru boleh komen tentang perkara ini.
“Kalau mahu tahu lebih lanjut boleh ditanya kepada pihak penerbit di Suhan Movies,” tulis Azma dalam kiriman WhatsAppkepada Mangga Online pada pagi Rabu.
Azma adalah pengarah berbakat besar yang banyak memberi sentuhan kepada beberapa drama popular yang mencapai rating tinggi antaranya Kerana Terpaksa Aku Relakan, Teman Lelaki Upahan dan Puteri Bukan Nama Sebenar.
Drama pertama arahannya ialah Merah Putih. Terdahulu beliau dikenali dengan nama Isma Yusoof sebelum menukar kepada Azma Aizal pada 2009.
Antara drama lakonannya, Rona Roni Makaroni, Emil Emilda, Keranamu Saerah dan Sutun. Watak lakonannya yang paling diingati penonton ialah Butang melalui drama Sindarela.
Filem lakonannya pula, Tanda Putera dan Dollah Superstar. Azma diangkat sebagai pengarah terbaik dalam Anugerah Tribute P. Ramlee menerusi drama Menunggu Hujan Teduh.
Semalam pelakon Ika Nabella membuat laporan polis berhubung dakwaan dipukul dan ditumbuk di beberapa bahagian badan oleh seorang pengarah di lokasi penggambaran drama Dawai Asmara.
Mengakui berada dalam keadaan trauma, Ika yang juga bekas peserta Akademi Fantasia 6 telah dinasihatkan oleh pihak berkuasa dan keluarga untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kerana siasatan masih dijalankan.
Dalam pada itu, penerbit Suhan Movies iaitu Datuk Rosyam Nor mengatakan pihaknya terpaksa menghentikan seketika penggambaran drama untuk slot Azalea TV3 itu.