UKM terima 6,718 pelajar baharu, 303 daripada keluarga B10
BANGI: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima seramai 6,718 pelajar baharu bagi sesi akademik 2024/2025 untuk semua program pengajian dengan 303 daripadanya daripada keluarga berpendapatan B10 iaitu kurang RM1,000 sebulan. Jumlah itu termasuk pelajar kategori arus perdana ambilan pelajar tempatan dan antarabangsa melalui Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional (UKMShape). Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman, berkata universiti itu menerima sebanyak 86,364 permohonan pada tahun ini, termasuk pemohonan yang tidak meletakkan UKM sebagai pilihan pertama. "Seramai 1,803 pelajar kemasukan baharu ke UKM bagi sesi akademik 2024/2025 terdiri daripada keluarga B40 merangkumi lebih 40 peratus daripada jumlah keseluruhan.
"Sejumlah 303 pelajar pula daripada keluarga B10 yang mempunyai pendapatan kurang RM1,000 sebulan. Mereka ini (pelajar) menerima pelbagai bentuk bantuan yang disediakan termasuk yuran kemasukan, bantuan zakat dan kemudahan kolej khusus kepada pelajar asnaf secara percuma sepanjang semester," katanya pada sidang media hari ini. UKM juga menerima lapan pelajar Orang Asli dan sembilan pelajar orang kelainan upaya (OKU). "Kita santuni setiap pelajar dengan menyediakan kemudahan penginapan dan bantuan kebajikan yang bersesuaian bagi memberi keselesaan kepada mereka," jelasnya. Selain itu seramai 303 orang pelajar yang ditawarkan Program Pembangunan Siswa Sulung 3.0. Program ini disasarkan kepada pelajar pertama dalam keluarga B40 yang melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.00. Antara penerima Program ini adalah pelajar jurusan Pendidikan Khas UKM, Nur Akliyah Amin, 20, yang mahu mengubah persepsi pendidikan dalam kalangan Orang Asli dengan menjadi sebahagian daripada warga pendidik supaya boleh dijadikan suri teladan kepada suku kaumnya iaitu suku Jahut. "Masih ada lagi segelintir daripada masyarakat Orang Asli yang tidak menghantar anak ke sekolah kerana kurang kesedaran mengenai kepentingan pendidikan. "Saya percaya bahawa pendidikan mampu mengubah perspektif orang ramai. Saya juga menyeru kepada masyarakat Orang Asli supaya merebut peluang yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang menawarkan bantuan penajaan bagi pelajar kurang berkemampuan. "Kita cuma perlu ambil peluang itu, walaupun kita tak berkemampuan, tetapi kita boleh minta tolong JAKOA," katanya ketika ditemui BH semasa kemasukan sesi akademik 2024/2025 UKM di sini, hari ini.
Anak kedua daripada lima beradik itu turut berkongsi bahawa selepas tamat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), beliau sempat bekerja di sebuah pasar raya di Bukit Kiara untuk mengumpul wang bagi perbelanjaan pelajaran. "Walaupun saya datang dari keluarga yang serba kekurangan, mak dan ayah tetap memberikan sokongan untuk saya melanjutkan pelajaran, termasuk memberi wang perbelanjaan. "Saya merupakan yang pertama dalam adik beradik yang berjaya menjejak kaki ke universiti. Pengalaman pertama kali ke universiti membuat saya sedih kerana perlu berjauhan dengan keluarga," katanya. Sementara itu, bagi pelajar jurusan undang-undang yang berasal dari Chenor, Pahang, Syaflin Kimieadley Rosli, 19, pula, beliau mahu memperkenalkan suku kaumnya yang sehingga hari ini masih tidak tersenarai dalam 18 suku Orang Asli yang utama di Semenanjung Malaysia. "Masyarakat Orang Asli sering berdepan dengan pelbagai cabaran, terutamanya dari sudut persepsi masyarakat terhadap kemampuan mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. "Saya juga sering dianggap tidak mampu melanjutkan pelajaran kerana mempunyai latar belakang sebagai Orang Asli. Saya harap lebih ramai komuniti Orang Asli menyedari kepentingan pendidikan tinggi. "Melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi bukan sahaja memartabatkan suku Orang Asli, tetapi juga membantu merapatkan jurang sosial di Malaysia. Ini adalah peluang untuk membuktikan bahawa Orang Asli juga mampu bersaing
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1304100/ukm-terima-6718-pelajar-baharu-303-daripada-keluarga-b10
|