Kenapa Marsha Jual Lempeng Pisang?
Teks & Foto oleh Roslen Fadzil
Jangan ingat Dafi AF5 saja yang ke Pangkor tetapi Ajai dan rombongan artisnya juga meluangkan masa untuk bersantai di pulau bersejarah yang cantik itu pada musim cuti sekolah lalu.
Jika Dafi ke sana untuk bersantai dengan peminatnya dan GengMurai, Ajai dan rakan artis iaitu Marsha, Syed Azmir dan Ika AF6 pula diundang ke sana untuk memeriahkan acara Hari Keluarga anjuran sebuah syarikat pelaburan Far Flex Sdn Bhd.
Turut menyertai rombongan ke sana ialah anak dara sunti Ajai, Ayu Nazirah. Selain itu, beberapa kakitangan dari Wake The Baby, Beyond Events Sdn Bhd dan PRO Maestro Talent, Nadia pun turut serta.
Di samping itu, penyanyi yang rakaman yang pernah menyepikan diri yang juga bekas peserta One In A Million (OIAM) dan GangStarz, Alyah (Noor Hasliah Abu Hassan) juga ada bersama.
Memandangkan ketika itu cuti sekolah, memang riuh rendahlah suasana di Pangkor baik dari jetinya hingga segenap resort, chalet dan hotel. Rombongan Ajai menginap di sebuah resort di Teluk Nipah dan di situlah berlangsungnya pelbagai acara menarik.
Antaranya, sukan pantai, snorkling, BBQ, pertandingan memancing dan pertandingan karaoke yang disertai semua pelabur terbabit dan keluarga mereka.
Ajai berkata, acara seperti itu memang ditunggu-tunggu kerana dia ingin membawa Ayu untuk makan angin terutama pada cuti sekolah.
"Memang saya mendapat hak penjagaan Ayu, jadi saya seboleh-bolehnya mahu menggembirakannya terutama waktu cuti sekolah. Di KL, saya biasanya sibuk dalam studio dan sekarang jadi pengkritik GangStarz. Ayu pula tumpukan perhatian di sekolah, kegiatan luar darjah dan belajar muzik. Jadi masa santai beginilah yang kami rindukan sangat," kata Ajai.
Marsha mesra dengan Ajai & Ayu
Si Marsha yang banyak dididik oleh Ajai sejak akhir-akhir ini pula lain ceritanya. Dia memang penakut menaiki bot di lautan dan tidak pandai sangat berenang. Jadi memang lucu melihat gelagat Marsha yang asyik takut dihanyutkan air.
"Kita mandi tepi-tepi ajelah. Takuuuttt.... kata Marsha yang tidak berenggang dengan Ayu. Malah mereka sama-sama berkongsi bilik penginapan dan asyik menyanyi kalau dah bertemu.
Ketika ditanya adalah Marsha dan Ajai 'ada apa-apa', dia dengan pantas menepis: "Eh Ajai ni macam Abang Marsha. Tak nampak ke dia asyik buli saya tak habis-habis!" Memang benar kata Marsha kerana Ajai asyik menyakatnya sampaikan ke dalam laut membuatkan Marsha terjerit-jerit kerana bimbang lemas!
"Haa, Kak Marsha ni my best friend," celah Ayu pula yang semakin petah dan manja. Warga Teluk Nipah juga ketawa melihat telatah Marsha yang gila-gila termasuk membakar Lempeng Pisang dan Pulut Udang di sebuah gerai.
Ika pula makin popular sejak tersingkir dari AF6. Ke mana pergi dia turut mendapat perhatian ramai. Tidak ketinggalan Syed Azmir, penyanyi baru yang kacak dan tinggi lampai. Syed memang ligat kalau dalam main air tetapi akhirnya kecundang apabila jet ski yang dinaikinya terbalik hingga tapak kaki kanannya terluka.
Sementara itu, pada malam kedua di sana, mereka menjadi juri pertandingan karaoke yang menawarkan hadiah lumayan RM5,000 untuk juara. Kesemua artis diundang membuat persembahan dengan lagu popular seperti Ketahuan (Syed Azmir), Tiada Lagi (Alyah), Seiring & Sejalan (Marsha & Ajai) dan Goyang Inul (Ika Af6).