|
Nonny @ Berita Harian
Kru produksi Astro Oasis sentiasa berusaha sajikan program kerohanian terbaik untuk seisi keluarga
BIARPUN baru berusia setahun jagung, saluran Astro Oasis nyata cepat membuka mata penonton. Kelainan pengisiannya memberikan kelebihan kepada saluran ini untuk menarik perhatian penonton yang dahagakan rancangan bercorak keagamaan dan kemanusiaan, selain hiburan.
Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah sendiri pernah memberitahu, jumlah tontonan saluran berkenaan meningkat dengan cepat, terutama pada Ramadan. Insan paling gembira dengan perkembangan sihat itu pula tentulah Pengurus Saluran terbabit, Izelan Basar, yang tidak putus-putus memuji pasukan produksi saluran itu yang sentiasa berusaha menghidangkan program terbaik buat penonton.
Pada Aidilfitri ini, tradisi pengisian rancangan berbentuk kerohanian diteruskan saluran berkenaan. Kata Izelan, sesuai dengan golongan sasar saluran itu, program raya yang disenaraikan juga lebih berupa siaran langsung sembahyang raya dari Makkah, takbir, marhaban dan konsert keagamaan.
"Kami juga akan menyiarkan drama khas sempena Aidilfitri, di samping rancangan Tazkirah Bersama Dr Fadzilah Kamsah," ujar Izelan yang mengakui, sebagai saluran Islam, Oasis perlu memperbanyakkan siaran azan, sembahyang dan bacaan al-Quran.
Menyentuh sambutan hari rayanya, Izelan berkata, biasanya dia akan memastikan segala kerja di Oasis selesai terlebih dulu, sebelum dia sekeluarga pulang beraya di kampung isteri, Parit Sakai, Muar, Johor.
"Rasanya raya tahun ini lebih bermakna kerana Oasis genap berusia setahun," katanya ketika menjayakan sesi fotografi raya ala padang pasir personaliti Oasis termasuk Akil Hayy, Nonny Nadirah Zainuddin atau Noni, Shafnie Zainudin dan Mohd Kushairi Che Ismail di Balai berita, baru-baru ini.
Sementara itu, Akil Hayy yang saban minggu dapat diikuti kemunculannya menerusi program Cafe Akhil Hayy di saluran berkenaan berada dalam dilema pada Aidilfitri kali ini. Ketika sesi fotografi ini dilakukan, dia masih menimbang tawaran bekerja pada hari mulia atau melepaskan saja rezeki hari raya.
"Memang ada tawaran mengadakan persembahan untuk saya pada 1 Syawal. Tetapi saya kena fikirkan dulu sebelum membuat keputusan melulu. Maklum saja, selama setahun saya asyik bermusafir ke seluruh negara memenuhi undangan, inilah waktu saya perlu berada di sisi keluarga pada hari lebaran," ujar penyanyi nasyid berusia 39 tahun ini, yang kini menetap di Ipoh.
Selalunya, Akil atau nama sebenarnya Akhil Abdul Hai akan beraya bersama keluarga di Gopeng, Perak, kampung halaman ibunya. Dia dan enam adik-beradik yang lain akan berkumpul di situ bagi memeriahkan suasana hari raya.
Jenguk keluarga di Sabah
SEORANG lagi artis yang menjayakan program Cafe Akhil Hayy, Noni, pulang ke Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah, 26 September lalu untuk beraya bersama keluarganya.
Kata remaja berusia 19 tahun dari program Akademi Fantasia musim kelima itu, dia cukup teruja untuk pulang beraya kerana sudah lama tidak dapat menjenguk famili di Sabah.
"Famili saya agak besar, jadi banyaklah juga saya keluarkan belanja untuk membelikan baju dan selendang sebagai tanda mata buat ibu dan ibu saudara. Namun, belanja tahun lalu sebenarnya lebih besar. Iyalah, ketika itu saya beraya buat kali pertama sebagai artis. Lagipun, kita digalakkan berjimat pada ketika ekonomi kurang memberangsangkan sekarang," katanya yang berhajat untuk bercuti selama seminggu atau dua sempena Aidilfitri tahun ini.
Raya sederhana bagi ustaz muda
BAGI pengacara Kuiz Adik Comel, Mohd Kushairi Che Ismail yang juga penceramah motivasi menyifatkan Aidilfitri hendaklah disambut dengan penuh kesyukuran kerana ia adalah lambang kemenangan umat Islam selepas sebulan berpuasa.
Tetapi tegas ustaz muda ini, maksud disambut dengan kesyukuran adalah meraikannya mengikut lunas Islam serta tidak melampau batas.
"Seharusnya kita menyambut ketibaan Aidilfitri dengan perasaan gembira kerana berjaya melawan hawa nafsu selepas sebulan menahan lapar dan dahaga. Dalam pada itu kita juga perlu mengenang akan kepayahan fakir miskin yang lapar dan dahaga adalah perkara biasa dalam hidup mereka.
"Lagi satu kita lihat kebanyakan orang sekarang lebih suka duduk di rumah, menonton televisyen berbanding berkunjung ke rumah saudara mara, rakan taulan dan jiran. Sepatutnya kesempatan ini digunakan untuk saling bermaafan antara satu sama lain.Itulah kemanisan Aidilfitri," ujar Kushairi yang menyambut 1 Syawal di Kota Bharu, Kelantan.
Anak lali beraya tanpa bapa
SEMENTARA itu, bekas pengacara program Sebutan Syariah musim pertama, Shafnie Zainudin akan menyambut hari Lebaran di rumah keluarganya di Kajang bersama dua anaknya.
Sebagai ibu tunggal, Shafnie berkata adalah menjadi tanggungjawabnya untuk membuatkan anaknya bahagia pada hari yang mulia itu.
"Hari raya sebenarnya adalah untuk kanak-kanak dan seboleh mungkin saya mahu anak-anak saya gembira pada hari itu. Yang penting, persiapan untuk mereka saya sudah sediakan sejak awal lagi. Saya juga akan menyediakan juadah istimewa buat mereka," ujar Shafnie yang juga bekas isteri kepada pelakon, penyanyi dan pengacara AC Mizal ini.
Ditanya bagaimanakah perasaan anaknya berhari raya tanpa bapa, jawapan Shafnie; "Mereka sudah lali dengan suasana itu."
Dan selepas hari raya, wanita bertubuh tinggi lampai ini akan kembali bersiaran di kaca televisyen untuk mengacarakan sebuah program berkonsepkan wanita dan kesihatan di saluran Oasis.
"Difahamkan, saya akan menjadi perantara sebuah program berbentuk kewanitaan dan kesihatan. Tetapi selain dari kaedah perubatan cara moden ia juga akan menerangkan rawatan secara Islam terhadap sesuatu penyakit itu.
"Justeru, sebelum memikul tanggungjawab itu saya perlu membuat kajian terlebih dulu supaya apa yang akan saya sampaikan nanti tidak mengelirukan penonton," ujarnya yang juga akan muncul dengan sebuah produk penjagaan kulit di bawah jenama Shafnie Beauty Inspiration.
Profil Personaliti Oasis:
Noni
Nama: Nonny Nadirah Zainuddin
Tarikh Lahir: 21 Julai 1989
Tempat Lahir: Kota Kinabalu, Sabah
Hobi: Mengumpul kipas kecil & melipat kertas bintang
Kerjaya: Penyanyi, pelakon
Program di Oasis: Cafe Akhil Hayy
[ Last edited by juliazafri at 3-10-2008 03:36 PM ] |
|