APM usaha tambah aset teknologi tinggi, mantapkan operasi penyelamat pantai
Anggota penyelamat pantai APM mempamerkan kemahiran dan kecekapan penyelamatan mangsa lemas ketika demonstrasi penyelamatan di air sempena majlis penutup Civil Defence Beach Lifeguard Conference di Port Dickson hari ini. Foto Bernama
PORT DICKSON: Angkatan Pertahanan Awam (APM) memerlukan aset tambahan lebih canggih seperti bot laju yang boleh dikawal dari jarak jauh dan dron bagi memastikan operasi penyelamat pantai dapat dilaksanakan lebih baik serta efisien. Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Aminurrahim Mohamed, berkata penggunaan peralatan berteknologi tinggi membantu melancarkan lagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta mengurangkan risiko dihadapi anggota penyelamat. "APM sedang berusaha menambah peralatan itu. Terdapat juga teknologi baharu dron iaitu membawa jaket penyelamat dan dilepaskan (ketika operasi menyelamat), tetapi harganya lebih tinggi, jadi buat masa ini kita tumpukan kepada teknik yang baik untuk menyelamat. "Penyelamat pantai ini bukan saja membantu di laut tetapi di tepi pantai, contohnya kemalangan kecil dan membantu pencarian kanak-kanak hilang," katanya selepas majlis penutup 'Civil Defence Beach Lifeguard Conference (CDLC) Tahun 2024' di sini, hari ini.
Majlis penutup itu disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Khairus Masnan Abdul Khalid. Aminurrahim berkata, terdapat 48 kawasan penugasan iaitu 42 menara penyelamat pantai dan enam stesen penugasan penyelamat pantai tanpa menara di seluruh negara dengan aset seperti jet ski, All Terrain Vehicle (ATV), portable lifeguard sentry chair, surfboard, inflatable boat, aluminum boat life jacket, throwbag, ring bouy dan rescue tube. Sementara itu, Khairus berkata, program berkenaan disertai 67 peserta dan 30 jemputan daripada agensi lain serta seorang peserta antarabangsa dari Bali, Indonesia bertujuan meningkatkan kecekapan dan kemahiran pegawai serta anggota APM. Beliau berkata, pihaknya sedang dalam tindakan mengambil 302 permohonan perjawatan kontrak bagi memantapkan operasi APM dan dalam proses 60 jawatan tetap yang sudah mengikuti latihan serta saringan fizikal dijangka Disember ini.– BERNAMA
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1312129/apm-usaha-tambah-aset-teknologi-tinggi-mantapkan-operasi-penyelamat
|